WTC Automotif (WTCA) telah mengumumkan pengenalan bagi GAC GS3 Emzoom pemasangan tempatan CKD, dengan unit pemanduan sebelah-kanan untuk pasaran Asia Tenggara. Sejak 10 Ogos lalu, WTCA tidak lagi menerima tempahan bagi unit import (CBU) dan pelanggan yang telah membuat tempahan CBU tetapi masih belum menerimanya boleh menukarnya kepada unit CKD.
GAC GS3 Emzoom CKD akan ditawarkan dengan varian tunggal iaitu Premium-R dengan harga RM126,800. Ini bermakna, ia kurang RM2,000 berbanding unit CBU yang diumumkan ketika dilancarkan April lalu yang berharga atas jalan RM128,900 tanpa insurans, berserta varian Exclusive (RM118,900) yang kini tidak lagi ditawarkan.
Untuk versi CKD ini, lima pilihan warna ditawarkan iaitu Salt Lake Blue, Asphalt Black, Superstar Silver, Graphite Grey, dan Frost White. Berbanding hanya empat pilihan untuk model CBU – melibatkan pertambahan warna baharu hitam, dan putih ditukar dari ‘Ivory’ kepada ‘Frost’.
Dilancarkan pada Mei 2023, projek pemacangan CKD WTCA-GAC ini menyaksikan pelaburan melebihi RM60 juta untuk menaiktaraf produksi dan fasiliti di kilang Tan Chong di Segambut. GS3 Emzoom CKD pertama dikeluarkan pada Februari, dan fasa pertama produksi bermula April, dan kini telah pun diproduksi sepenuhnya di kilang Segambut.
“Sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan kami telah melepasi sasaran tempahan awal kami untuk unit CBU. Kami teruja untuk mengumumkan bahawa semua unit CBU telah habis dijual sepenuhnya. Kami juga menjangkakan bahawa GAC GS3 Emzoom CKD akan diterima dengan baik. Yakinlah, pasukan kami yang berdedikasi bekerja tanpa jemu untuk memenuhi tempahan anda dan meminimumkan tempoh menunggu,” kata Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings.
Tambahnya, “WTCA akan merancang lebih banyak varian dan model untuk diperkenalkan di Malaysia dalam bentuk CKD, dan kami berharap untuk meluaskan lagi barisan produk kami.” WTCA juga mengedar model EV GAC Aion.
Syarikat itu turut mengumumkan tawaran eksklusif kepada mereka yang terpaksa menunggu iaitu melibatkan pelanggan dengan tempoh menunggu melebihi tiga bulan, serta mereka yang memilih untuk menukar tempahan CBU mereka kepada CKD, akan menerima lapisan cermin gelap percuma bernilai sehingga RM2,100.
Ini adalah tambahan kepada perkhidmatan percuma setahun dan waranti lima-tahun/150,000 km. Selain itu, 2,000 pembeli pertama akan mendapat waranti tujuh-tahun/180,000 km untuk enjin dan penjana kuasa, serta jam tangan pintar.
GS3 Emzoom merupakan SUV segmen-B yang berukuran 4,410 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak roda 2,650 mm, iaitu 80 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar berbanding Proton X50. Ia dikuasakan oleh enjin petrol 1.5T GDI generasi ketiga yang didakwa lebih berkuasa dan cekap tenaga. Janaan kuasanya ialah 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm pada 1,400 rpm-4,500 rpm. Kuasa ini disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik tujuh-kelajuan (7DCT) klac basah. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat
GAC GS3 Emzoom 2024 Premium-R
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.