Honda CR-V mendahului pasaran SUV dalam segmen C dari segi jualan bulan lalu dengan sejumlah 980 unit terjual dan didaftarkan, menurut data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di tempat kedua ialah Chery Tiggo 7 Pro dengan jualan sebanyak 769 unit, sementara Maxda CX-5 di tempat ketiga dengan 641 unit.
Sebuah lagi model dari Mazda dalam segmen yang sama, CX-30 pula mencatatkan sebanyak 404 unit yang didaftarkan dan berada di depan Proton X70 yang hanya terjual sebanyak 276 unit. Bagi Proton, ini adalah kerana yang direkodkan itu merupakan model sedia ada, dan pasaran sedang menanti pelancaran secara rasmi X70 facelift yang akan berlangsung esok, dan dijangka jualannya akan kembali meningkat untuk bulan depan.
Selain lima kedudukan teratas itu, serahan bagi model GWM Tank 300 kini mencecah 83 unit bulan lalu, diikuti oleh Volkswagen Tiguan (79 unit), Subaru XV (70 unit), Subaru Forester (55 unit) dan Nissan X-Trail (46 unit). SUV dengan jualan angka tunggal pula seperti berikut: Peugeot 5008 (enam unit), Hyundai Tucson (lima unit) dan Jaecoo J7 (lima unit).
Bagi Honda CR-V, ia tidak hanya menjadi pendahulu bagi jualan bulan Julai 2024, tetapi juga mencatatkan jualan tahunan setakat ini (YTD) yang tertinggi. Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, sebanyak 7,052 unit CR-V telah didaftarkan, mendahului Mazda CX-5 yang mencatatkan 4,299 unit bagi tempoh sama.
Proton X70 dan Mazda CX-30 menyaksikan persaingan sengit untuk tempat ketiga, dengan X70 hanya mendahuli dengan 16 unit. Tiggo Pro 7 pula di kedudukan kelima dengan 2,000 unit, dan diikuti oleh model Tiguan (543 unit), XV (491 unit), Forester (432 unit), X-Trail (400 unit), Tank 300 (89 unit), Tucson (22 unit), 5008 (14 unit) dan J7 (sembilan unit). Serahan bagi J7 juga dijangka akan meningkat selepas pengedar menerima unit untuk diserahkan kepada pelanggan dalam bulan-bulan akan datang.
Dengan tersisa lima bulan lagi untuk tiba di penghujung 2024, adakah X70 mampu memintas CR-V dan CX-5 untuk merampas tempat teratas?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.