Mitsubishi Xpander facelift 2024 semakin jelas dilihat di Malaysia. Hantaran terbaru dalam kumpulan Facebook Mitsubishi Xpander Owners Club (MXOC) ini misalnya menunjukkan beberapa unit MPV tujuh-tempat duduk berkenaan sedang berada di atas trailer pengangkut dengan bahagian badannya terdedah.
Dengan hanya menutup beberapa perincian pada Mitsubishi Xpander 2024 (versi terkini pernah dipamerkan juga di Thailand) — ada pelekat yang menutupi bahagian logo dan nama model — ini memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap perubahan dan kemaskini bagi versi terbaru yang akan dilancarkan itu.
Daripada gambar yang dikongsikan tersebut, agak jelas kelihatan kemaskini yang telah dibuat untuk Xpander 2024, terutamanya untuk bahagian belakangnya. Rekaan lampu sepertinya baru, dengan LED dan perumah yang gelap. Begitu juga dengan rekaan bampar dan bahagian bawah bampar yang datang dengan kemasan perak gelap, yang nampak berbeza daripada model sebelum ini.
Pelekat putih di belakang itu pula tentunya lencana nama Mitsubishi atau Xpander, yang mana kedudukannya juga kini lebih tinggi dan sama tahap dengan ruang untuk nombor platnya. Selain itu, lampu pemantul/reflektornya juga kini dalam rekaan menegak di sudut bampar.
Tidak ketinggalan ialah bahagian spoiler yang dapat juga dilihat dengan jelas, yang boleh diagak bahawa unit dalam gambar ini merupakan varian paling lengkapnya. Meninjau rekaan rimnya juga akan menampakkan kelainan berbanding rekaan bilah lurus yang lama, yang mungkin juga akan datang dengan saiz yang lebih besar.
Bahagian sisinya pula menunjukkan adanya bodykit atau skirting sisi dengan warna perak gelap yang sama dengan bahagian bawah bampar belakang. Ini kita boleh jangkakan akan diterapkan juga ke bahagian bampar depannya.
Untuk bahagian depan juga dapat dilihat beberapa perubahan. Antaranya ialah rekaan lampu (yang terletak di bahagian bampar) kini lebih besar berbentuk ‘T’, manakala kemasan krom di sekitarnya yang berbentuk ‘C’ juga seperti makin tebal. Keluasan untuk bahagian gril jaring hitamnya juga seperti lebih besar.
Dengan kemunculan Mitsubishi Xpander facelift 2024 ini, kita sudah boleh jangkakan yang model berkenaan kini sudah siap sedia untuk diperkenalkan ke dalam pasaran. Persoalannya, bila? Dan dari segi spesifikasi mekanikal, akan ada perubahan juga atau sebaliknya?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.