Tidak seperti pengeluar lain yang menggunakan enjin empat silinder sebaris sebagai enjin utama, Subaru merupakan satu-satunya pengeluar yang masih setia menawarkan enjin dalam bentangan empat-silinder Boxer untuk semua model-model utamanya (tidak termasuk model K-Car dan EV) yang dijual sehingga kini.
Enjin ini menampilkan susunan silinder dengan dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan, dan berbanding enjin V di mana kedua-dua tebing blok enjin tersebut berada dalam kedudukan condong, silinder untuk enjin Boxer ini adalah ‘dibaringkan’ sepenuhnya.
Ini menghasilkan titik graviti yang jauh lebih rendah bukan hanya pada enjin, malah pada badan kereta itu sendiri bagi memberikan kesan terus terhadap pengendalian yang lebih baik. Dan dengan rekaan itu juga, enjin Boxer ini turut menghasilkan bunyi enjin seakan guruh yang lebih garang dari enjin empat silinder biasa.
Nak nikmati bunyi unik enjin Boxer berkenaan? Ini dia laman YouTube Toyota Times ada memuatnaik video ASMR yang menyajikan bunyi enjin tersebut dalam durasi cukup lama, iaitu lebih tiga jam! Video ini ‘dibinatangi’ oleh Subaru Levorg Layback.
Levorg berkenaan dilengkapi dengan enjin CB18, iaitu enjin boxer generasi terkini yang dihasilkan Subaru dan diperkenalkan bermula 2020. Dan kalau anda dengar dengan teliti, enjin siri CB ini telah kembali menghasilkan bunyi ‘guruh’ asal (walaupun tidak ‘seganas’ bunyi seperti yang dihasilkan oleh enjin siri EJ) yang sebelum ini telah lenyap pada enjin generasi FA/FB.
Menurut Jun Hirano, jurutera yang bertanggungjawab membangunkan enjin-enjin Subaru selama 20-tahun, bunyi ‘guruh’ pada enjin siri FB dan FA sebelum ini terpaksa dilenyapkan kerana ia bukan sahaja perlu dihasilkan untuk menjana kuasa yang lebih efisien, malah ia turut perlu mematuhi undang-undang pencemaran bunyi yang semakin ketat.
Hirano yang kini merupakan Pengurus Besar Projek di Bahagian kejuruteraan divisi pembangunan alam sekitar kenderaan Subaru menjelaskan, bunyi berkenaan dilenyapkan menerusi pemadanan paip manifold ekzos yang dihasilkan sama panjang dari tebing sebelah kiri dan kanan enjin.
Namun untuk enjin siri CB, jurutera Subaru mendapati kuasa dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan juga memberikan respon lebih baik sekiranya pengecas turbo menerima gas ekzos dari manifold dengan jarak yang tidak sama dari antara kedua-dua kepala enjin.
Untuk itu pengecas turbo pada enjin CB ini diletakkan di bawah blok enjin untuk silinder 3 dan 1, menyebabkan paip ekzos sebelah kanan lebih pendek dengan ukuran sekitar 100 mm, manakala paip sebelah kiri lebih panjang dengan ukuran sekitar 350 mm hingga 400 mm. “Ini membolehkan pengecas turbo boleh berputar lebih laju”, kata Hirano.
Bagi membolehkan enjin ini melepasi undang-undang pencemaran bunyi pula, Subaru memadankan peredam bunyi yang direka untuk melenyapkan sebanyak mungkin bunyi yang dihasilkan oleh enjin. Namun bagi mereka yang mahukan bunyi boxer sebenar pada kereta masing-masing, Subaru menawarkan peredam jenis Sport Muffler menerusi badan penalanya iaitu STI sebagai pilihan aksesori aftermarket, sama seperti yang dipadankan pada Levorg dalam video ASMR ini.
Tapi kenapa pula macam Toyota yang bersungguh-sungguh mempromosikan enjin Boxer Subaru ini? Bagi yang belum mengetahui, Toyota kini telah mewujudkan ikatan kerjasama dengan Subaru dan Mazda bagi membangunkan enjin-enjin pembakaran generasi baharu.
Ia disasarkan untuk memastikan enjin pembakaran dalaman masih terus relevan dan dengan pelbagai teknologi terkini yang membolehkan enjin-enjin tersebut lebih mesra alam, ia boleh menjadi alternatif kepada teknologi kenderaan elektrik penuh (EV) dalam menuju kearah neutraliti karbon.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.