Pengeluar automotif dari Vietnam, VinFast baru sahaja mengumumkan kemasukan rasminya ke pasaran Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) April lalu dengan menandatangani kerjasama bersama 15 pengedar, serta mensasarkan untuk melancarkan pelbagai model EV sebelum akhir tahun ini di sana.
Walau bagaimanapun tidak sampai lima bulan perjanjian itu berlangsung, VinFast dilaporkan pula mahu keluar dari pasaran Thailand. Perkara ini dilaporkan oleh portal automotif Thailand, Headlightmag dalam satu hantaran Facebook yang dibuat yang menyatakan khabar yang bertiup menunjukkan VinFast Thailand telah menghentikan semua operasi mereka.
Menurut Headlightmag lagi, VinFast mengambil keputusan tersebut kerana ia tidak mampu untuk bersaing dalam perang harga dari jenama-jenama EV dari China yang sedang berlangsung di Thailand buat masa sekarang. Manakala pengedar-pengedar yang terlibat kini sedang memfailkan tuntutan pampasan atas kerugian yang perlu ditanggung dari pelaburan tersebut.
Berita ini muncul beberapa hari selepas VinFast dilaporkan menangguhkan pembukaan jaringan pengedar di Thailand atas alasan kelembapan jualan kenderaan penumpang di Thailand buat masa sekarang. VinFast juga dikatakan kini sedang mencari negara ASEAN lain untuk bertapak, dengan sasaran untuk masuk ke pasaran Filipina.
Manakala dalam laporan Bloomberg, VinFast dilapor membuat kenyataan yang disiarkan menerusi email menyatakan bahawa ia akan “membuat penilaian dengan berhati-hati” masa untuk mula menjual model-model EVnya di Thailand. “Kami telah menangguhkan pelancaran pengedar kami di Thailand untuk memastikan infrastruktur dan operasi kami sejajar dengan piawaian global VinFast,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sebelum ini syarikat tersebut mengumumkan cita-cita besarnya untuk melebarkan pasarannya sekurang-kurangnya ke 50 negara tahun ini, serta mahu membina kilang pemasangan baharu di Indonesia susulan pelancaran model VF5 di sana. Namun dengan pelbagai laporan yang muncul, VinFast nampaknya kini sedang bergelut dengan pelbagai cabaran dan mungkin perlu mengubah rangcangannya.
Selain dari masalah yang berlaku di Thailand ini, bulan lalu VinFast turut mengumumkan ia perlu menangguhkan pembukaan kilangnya di North Carolina, Amerika Syarikat sehingga tiga tahun iaitu pada 2028, untuk mengurus perbelanjaan jangka pendek “dengan lebih berkesan” dan menumpukan sumber pada sasaran pertumbuhan jangka pendek.
VinFast sebelum ini turut dilihat telah menguji dua modelnya di sini iaitu VF e34 dan VF5. Namun sehingga sekarang masih belum ada kenyataan rasmi sama ada ia akan membuka operasinya di Malaysia atau tidak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.