Xpeng Bermaz pertimbang projek CKD di Malaysia

Xpeng Bermaz pertimbang projek CKD di Malaysia

Xpeng memasuki pasaran Malaysia dengan model pertamanya, G6, iaitu sebuah SUV elektrik penuh berharga RM165,820 yang akan bersaing dengan Tesla Model Y – kedua-duanya diimport terus (CBU) dari China. Menurut laporan sebelum ini, Tesla memang tidak mempunyai perancangan untuk membuka kilang di Malaysia, tetapi bagi Xpeng, terdapat kemungkinan modelnya akan dipasang di sini kemudian nanti.

Perkara ini diketahui sewaktu sidang media yang dibuat selepas G6 dilancarkan Selasa lalu, di mana soalan sama ada Xpeng Bermaz mempunyai rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) diajukan kepada panel yang hadir.

“Seperti yang anda tahu, kenderaan EV sangat berbeza dengan kenderaan ICE. Sehingga kerajaan umumkan polisi yang jelas, barulah pemain industri akan memikirkan secara cermat, kerana seperti yang anda tahu, jumlah jualan masih tidak cukup. Tidak masuk akal untuk CKD,” kata CEO kumpulan Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan.

“Bateri menyumbang kepada 30-40% daripada kos sebuah kereta, jadi adakah anda bersedia untuk membuka kilang bateri di sini? Rasanya tidak, jadi dari mana anda nak dapat lokalisasi tersebut? Anda akan dapat daripada cermin, tayar, rim, kemasan dalaman, tempat duduk – ini adalah perkara biasa yang dibuat. Tapi berapa banyak lokalisasinya, kami tidak tahu,” tambah beliau.

“Sudah tentu, kami juga tidak mengabaikan ruang ini. Kami juga sedang berbincang dengan Xpeng untuk langkah seterusnya berkenaan CKD, tetapi kami perlu bersedia. Seperti yang anda tahu, CKD mengambil masa lama untuk berhasil, jadi kami perlu rancang sekarang. Malah, kami sedang berbincang dengan Xpeng berkenaan projek CKD sekarang. Mereka akan menghantar satu pasukan ke sini untuk melawat kilang dan melihat bagaimana sesuatu boleh dibuat,” kata Lee.

Untuk masa sekarang, Bermaz Auto memasang Kia Carnival dan Sorento (dijual oleh Dinamikjaya Motors) serta beberapa model Mazda (dijual oleh Bermaz Motor) di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Jika G6 dipasang di dalam negara, ia akan menjadi EV pertama syarikat itu yang dipasang di sini dan akan membawa manfaat lain.

Berdasarkan insentif EV yang ditawarkan oleh kerajaan sekarang, EV CBU dikecualikan daripada cukai import dan duti eksais sehingga 31 Disember 2025. Sementara itu, EV CKD pula mendapat pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027 – komponen yang digunakan untuk EV pemasangan tempatan juga dikecualikan daripada cukai sehingga tempoh sama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required