Ada kejutan daripada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM). Di satu sudut ruang pameran Hyundai bagi acara Sime Darby Motors Automania yang bermula hari ini (di Tempat Letak Kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil) ada dipamerkan sebuah Hyundai Ioniq 5 N. Model ini adalah versi prestasi N Performance bagi EV Ioniq 5 yang ada dijual.
Penampilan sulung Ioniq 5 N ini di Malaysia hanyalah sebagai prebiu sahaja dan belum ada harga yang ditetapkan. Bagaimanapun, kepada yang berminat mendapatkannya, mereka sudah boleh berhubung dengan HSDM untuk tujuan itu. Model ini juga merupakan model N kedua yang dijual di Malaysia selepas i30 N.
Ioniq 5 N ini dilengkapi dua motor AWD dan mempunyai janaan output 609 PS (448 kW) dan 740 Nm tork. Dengan N Grid Boost (NGB) diaktifkan, angka maksimum boleh mencapai 650 PS (478 kW) dan 770 Nm untuk 10 saat, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat. Laju maksimum pula ialah 260 km/j.
Untuk bateri, unit lithium-ion 84 kWh digunakan, memberikan jarak perjalanan sehingga 448 km dalam kitaran WLTP. Kadar maksimum pengecas pantas DC ialah 350 kW, dan 10%-80% SoC boleh dicapai dalam hanya 18 minit.
Berbanding dengan Ioniq 5 biasa, versi N ini datang dengan badan yang lebih lebar, apron depan dan belakang yang diperkemas untuk aspek aerodinamik dan penyejukan yang lebih baik, kemasan dalaman hitam dengan sentuhan sport, kerusi bucket (dengan logo N bercahaya), tetapan kerangka yang lebih kukuh, ciri Limited Slip Differential elektronik (e-LSD) serta brek yang lebih besar dengan angkup merah.
Selain itu, ada banyak ciri dan kelengkapan N yang disertakan, seperti berikut:
- N Pedal — memberikan maklum balas dan sensitiviti lebih pantas
- N Drift Optimiser — memudahkan untuk mengekalkan sudut drift
- N Torque Distribution – menyediakan agihan tork depan dan belakang boleh ubah sepenuhnya dengan 11 tahap larasan
- N Grin Boost – lonjakan kuasa sementara
- N Launch Control – menyediakan tiga tahap cengkaman berbeza untuk permulaan
- N Battery Pre-conditioning – tetapan untuk bateri yang bersesuaian dengan keperluan pemanduan yang spesifik
- N Race – mengoptimumkan aspek endurans dengan memberikan pemandu kawalan terus terhadap penggunaan kuasa kereta
- N Brake Regen – sistem regeneratif brek yang khusus dan menawarkan daya sehingga 0.6 G
- N e-shift – mensimulasi penukaran gear oelh transmisi klac berkembar lapan-kelajuan dengan mengawal output tork
- N Active Sound+ – menggunakan 10-pembesar suara (lapan dalaman, dua luaran) untuk menghasilkan tiga tema bunyi berbeza
Walaupun sebuah EV, Ioniq 5 N mempunyai semua ciri yang penuh daya tarikan bagi sebuah kereta prestasi, sama seperti kereta ICE konvensional. Jadi, berapa harganya? HSDM setakat ini masih belum mengumumkan apa-apa tentang ini, namun jurujual di acara berkenaan memaklumkan harga awalnya ialah RM388k, dan ada tiga unit ketika ini bagi kelompok pertama yang belum ada pemilik. Selepas ini, ia perlu ditempah dahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.