Chery Tiggo 8 Pro kini ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM8,000 menerusi promosi terkini oleh Chery Malaysia. Tawaran diskaun ini sama dengan kadar yang diberikan kepada Omoda 5, tetapi Tiggo 8 Pro ini tidak didatangkan dengan penawaran servis percuma tujuh-tahun.
Diperkenalkan pada Julai 2023 serentak dengan pelancaran Omoda 5, SUV tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Premium, dijual pada harga atas jalan RM159,800. Tiggo 8 Pro ini juga diberikan ciri standard termasuk lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, serta set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.
Bagi kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik. Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.
GALERI: Chery Tiggo 8 Pro
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.