Selepas melancarkan model facelift untuk Mitsubishi Xpander hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sedang mempertimbangkan untuk membawa pula dua lagi varian MPV berkenaan ke pasaran tempatan iaitu Xpander dengan unit rangkaian kuasa hibrid iaitu Xpander HEV dan juga Xpander Cross, iaitu versi dengan gaya lebih lasak seakan sebuah SUV.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh CEO syarikat tersebut, Shinya Ikeda dalam sesi soal jawab bersama media sebentar tadi. Kedua-dua variasi model berkenaan kini sudahpun diperkenalkan pada pasaran negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Bagi Xpander Hybrid, ia menerima sistem hibrid e:Motion, menampilkan enjin petrol 4A92 1.6 liter empat silinder kitaran Atkinson berkuasa 95 PS dan tork 134 Nm, yang kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid litium ion.
Manakala roda hadapan Xpander Hybrid ini digerakkan terus dengan motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm, namun dalam situasi tertentu seperti pada kelajuan lebih tinggi, motor dan enjin berkenaan dikunci menggunakan klac bagi bersama-sama untuk memacu roda hadapan.
Di Thailand unit rangkaian kuasa ini hibrid ini bukan hanya ditawarkan pada Xander biasa, malah turut hadir dalam versi Xpander Cross. Model Cross tersebut pula menampilkan kit seperti skid plate pada bampar hadapan dan belakang, pelindung-pelindung sekeliling badan dan juga rel bumbung bagi memberikan imej sebuah kenderaan off-road.
Dalam sesi soal jawab yang sama, Ikeda turut mendedahkan bahawa MMM juga sedang mempertimbangkan untuk menukar kotak gear 4AT yang masih digunakan pada Xpander facelift pasaran Malaysia yang baru dilancarkan ini kepada transmisi CVT, sama seperti Xpander di pasaran lain.
Buat masa sekarang model-model Xpander bukan hibrid pada pasaran luar Malaysia masih lagi menggunakan enjin 4A91 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm. Namun untuk model facelift, hanya pasaran Malaysia yang masih menggunakan kotak gear 4AT konvensional, manakala pasaran lain sudahpun menggunakan kotak gear CVT.
Mitsubishi Xpander facelift masih ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan menerusi kilang Hicom di Pekan, Pahang. Ia kini menampilkan dua varian iaitu varian asas dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,980, dan varian Plus berharga RM109,800.
Sekiranya MMM benar-benar memperkenalkan dua varian yang disebut tadi, dengan harga yang sudah tentu lebih tinggi, adakah anda sanggup membeli sebuah MPV segmen-B pada harga lebih RM110k? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.
GALERI: Mitsubishi Xpander HEV di BIMS 2024
GALERI: Mitsubishi Xpander Cross HEV di BIMS 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Tolong la bawak xpander cross masuk malaysia..