Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

Mitsubishi Xpander HEV dan Xpander Cross HEV telah pun diperkenalkan di pasaran Thailand, membawakan gandingan versi elektrifikasi dengan kapasiti tujuh-tempat duduk.

Dimensi luaran bagi Xpander HEV dan Xpander Cross HEV adalah sama dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), walau bagaimana pun Xpander Cross HEV lebih lebar 40 mm berbanding Xpander HEV, manakala overhang hadapannya juga 5 mm lebih panjang dan overhang belakang pula 5 mm lebih pendek. Namun Xpander HEV dan Xpander Cross HEV memiliki angka ground clearance yang sama iaitu 205 mm, di mana ia antara kurang 15-20 mm berbanding Xpander facelift yang diperkenalkan pada Ogos 2022.

Sebagai antara varian Xpander facelift, Xpander HEV juga menggunakan wajah hadapan Dynamic Shield, namun untuk versi hibrid, terdapat serlahan biru pada hujung bawah bampar hadapan, serta diberikan roda aloi kemasan-machine dua-tona. Sama dengan rupa hadapan Xpander Cross HEV, ia diberikan roda aloi dengan serlahan biru tetapi dengan rekaan yang berlainan.

Mitsubishi Xpander Cross HEV 2024

Kedua-dua Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan penjana kuasa hibrid elektrik-petrol, digabungkan bersama enjin 1.6 liter MIVEC naturally-aspirated dengan generator, transaxle, unit kawalan pacuan elektrik dan bateri lithium-ion.

Enjin pembakarannya adalah dengan unit 4A92 1,590 cc empat-silinder sebaris petrol dengan nisbah mampatan 14:1, mampu menghasilkan 95 PS pada 5,100 rpm dan tork 134 Nm pada 4,500 rpm. Motor pacuan elektrik pula mampu menghamburkan kuasa maksimum hingga 116 PS dan tork 255 Nm, dipacukan ke roda hadapan.

Tujuh mod pacuan ditampilkan untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV iaitu Charge, EV, Wet, Gravel, Tarmac dan Mud. Selain itu, ia juga diberikan Active Yaw Control ciptaan Mitsubishi sendiri untuk kedua-dua model ini.

Klik untuk besarkan

Casis untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan larasan yang agak sama, termasuk menampilkan topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang. Suspensi ini juga telah dipertingkatkan untuk memberikan pengendalian yang lebih selesa dan lancar, kata Mitsubishi.

Manakala sistem brek pula dipadankan dengan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang, serta didatangkan dengan roda aloi 17-inci dibaluti tayar berukuran 205/55R17.

Untuk ruang dalam Xpander HEV dan Xpander Cross HEV telah diberikan ciri yang dinaiktaraf, dengan menerima panel instrumen LCD berwarna lapan-inci baharu bersama penukar transmisi elektronik. Manakala paparan skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci turut menerima bezel yang sedikit berlainan dan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Mitsubishi Xpander Hybrid, Xpander Cross Hybrid diperkenal – e-motor 116 PS/255 Nm, 7 mod pacuan

Roda stereng juga direka semula, dengan memberikan ciri baharu kawalan pelbagai-fungsi. Manakala kawalan suhu pula diberikan kawalan digital, sama seperti Xpander facelift, dan turut menerima penapis zaraj PM2.5.

Untuk aspek keselamatan, kedua-dua Xpander HEV dan Xpander Cross HEV ini menerima ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan dengan pengunci pintu penderia-kelajuan. Sementara ciri keselamatan pasif merangkumi dua beg udara hadapan dan keluli ketahanan tinggi untuk binaan struktur kerangkanya.

Bagi penawaran warna luaran, Xpander HEV diberikan pilihan White Diamond, Blade Silver, Graphite Gray dan Jet Black Mica. Sementara Xpander Cross HEV ditambah dengan satu lagi pilihan warna iaitu Green Bronze. Menjadikannya lima pilihan warna untuk pasaran Thailand. Di negara itu juga, Mitsubishi Xpander HEV ditawarkan pada harga 912,000 baht (RM121,597), manakala Xpander Cross HEV pula berharga 946,000 baht (RM126,130), menurut Headlight Magazine.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required