Satu lagi model di bawah payung MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang diberitahu akan tiba pada tahun depan adalah SYM Husky ADV 300. Ia ada dipamerkan semasa China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA 2024) awal bulan lalu dan di sini kami sediakan gambarnya.
Menggunakan asas daripada model Joyride 300, Husky ADV 300 ini kemudiannya diubah untuk memberikan penampilan sebuah motosikal adventure pada skuter, sama seperti Husky ADV 150 yang dilancarkan di pasaran Malaysia April lalu pada harga RM9,998.
Seperti yang dapat diketahui melalui namanya, Husky ADV 300 ini menggunakan enjin lebih besar, iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 278 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik yang dipadankan bersama transmisi CVT dan mendapat penarafan emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 25.5 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm pada 6,000 rpm.
Rim pada Husky ADV 300 berlainan saiz antara hadapan dan belakang, iaitu masing-masing 15 inci dengan tayar 120/70 dan 14 inci dengan tayar 140/70. Memegangnya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.
Kemudahan lain yang disediakan oleh Husky ADV 300 ini adalah termasuk panel meter TFT tujuh inci, soket pengecas USB-C dan USB-A, sistem kunci pintar, lampu utama projector LED serta tangki bahan api 16 liter. Pada bahagian keselamatan, skuter ini datang dengan sistem ABS pada brek cakera hadapan dan belakangnya, serta kawalan cengkaman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.