Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

Model EV paling kecil dari Volvo iaitu SUV Volvo EX30 hari ini secara rasminya dilancarkan di Malaysia selepas lebih setahun ia membuat kemunculan sulung globalnya. Bagi pasaran tempatan, EX30 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX30 Plus, EX30 Ultra, dan versi paling berkuasa EX30 Ultra Twin Performance.

Buat permulaan, EX30 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari China terlebih dahulu untuk unit-unit terawal. Selepas ini ia akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo Shah Alam.

Berkenaan harga pula, EX30 Plus dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM188,888, EX30 Ultra berharga RM208,888, manakala EX30 Ultra Twin Performance pula berharga RM228,888. Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun.

Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

Bagi varian EX30 Plus dan EX30 Ultra, digerakkan hanya dengan sebuah motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm yang hanya memacu roda belakang. Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat.

Manakala varian tertinggi EX30 Ultra Twin Motor Performance pula diberikan dua motor elektrik masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang, memberikan kebolehan sistem pacuan roda pada SUV ini dengan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork maksima 543 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat hanya dalam masa 3.6 saat, menjadikan ia model produksi Volvo paling pantas pernah dihasilkan.

Namun ketiga-tiga varian ini dibekalkan dengan bateri yang sama iaitu bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj. Ini membolehkan model dengan motor tunggal bergerak sejauh 476 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala model dengan dua motor yang lebih pantas pula boleh bergerak sejauh 450 km dengan satu cas penuh bateri.

Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

Bateri berkenaan mampu menerima pengecas AC dengan input maksima 11 kW bagi membolehkan kuasa dipenuhkan dalam masa 7.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC yang mampu menangani sehingga 153 kW pula membolehkan jumlah cas dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 26.5 minit. Spesifikasi EX30 pasaran Malaysia ini nampaknya jauh lebih baik dari versi pasaran Indonesia yang ditawarkan hanya dalam versi motor tunggal dan bateri LFP 51 kWj yang memberikan jarak gerak 476 km.

Jika dilihat pada spesifikasi unit rangkaian kuasa, angka yang ditunjukkan adalah sama seperti smart #1. Ini kerana kedua-dua SUV EV tersebut dibina berdasarkan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama. Bagi EX30 ini ia menampilkan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 mm dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

Ia bukan sahaja lebih kecil dari Volvo XC40 dan C40 (217 mm lebih pendek dan 36 mm kurang lebar), malah EX30 ini juga lebih kecil dari kembarnya dari smart #1 yang dihasilkan dengan panjang 4,270 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm

Volvo EX30 dilancarkan di Malaysia – bermula RM189k, 3 varian, sehingga 428 PS/543 Nm dan 476 km WLTP

Dengan platform yang dikongsi dengan model-model dibawah jenama Geely yang lain pula, EX30 ini turut menampilkan rekaan yang lebih berkotak, berbeza dari XC40. Namun ia masih tampil dengan signatur utama sebuah Volvo iaitu lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang ‘Tukul Thor’ (kali ini dihasilkan dengan susunan LED piksel).

Ia juga diberikan keempat-empat ruang roda yang ‘berotot’, manakala lampu belakangnya pula direka seakan bentuk-C serta dihubungkan kedua-duanya menerusi jalur LED nipis di atas dan bawah. Jadi walaupun EX30 ini bersaiz kecil, ia masih tampil dengan rupa yang gagah dan lincah.

Manakala dalam kabin, EX30 tampil dengan rekaan ringkas, terutamanya pada papan pemuka yang bukan sahaja tiada suis fizikal, malah turut tidak mempunyai paparan instrumen untuk pemandu. Kesemua maklumat berkenaan dipaparkan pada hanya satu skrin utama di tengah bersaiz 12.3-inci yang diletakkan secara menegak.

Skrin berkenaan dikuasakan oleh Android Automotive Operating System (AAOS) yang mengintegrasikan fungsi Google Service seperti Google Maps dan Google Assistant. Ia juga menjadi pusat untuk mengawal fungsi-fungsi lain dalam SUV ini termasuk sistem pendingin hawa. Namun ada beberapa butang fizikal diberikan pada roda stereng, dan ia hanya untuk mengawal beberapa fungsi.

Kabin EX30 ini juga direka bagi menampilkan ruang storan yang versatil, tetapi dalam masa yang sama mengurangkan penggunaan pelbagai komponen. Sebagai contoh, untuk sistem audio Harman Kardon pada SUV ini menampilkan soundbar yang dihasilkan secara bina-dalam pada papan pemuka, bagi menggantikan pembesar suara pada pintu depan di mana bahagian tersebut dihasilkan dengan ruang storan lebih besar.

Bagi kelengakapan, model asas EX30 Plus menerima perincian standard seperti rim aloi 19-inci, sistem pemantau angin tayar, sistem kuci pintar yang dibekalkan dengan kunci kad dan tag, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, sistem pendingin hawa dua-zon dengan penderia PM2.5, pad pengecas tanpa wayar dan tempat duduk hadapan larasan manual.

Varian asas ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang memberikan fungsi cruise control adaptif, penderia parkir hadapan dan belakang, pengelak pelanggaran, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran keluar loroang, pemantau titik buta bersama bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, pemantau pemandu dan kamera undur.

Untuk varian EX30 Ultra pula ia menerima tambahan humbug suria panaromik, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir Park Pilot Assist dan juga tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan sokongan lumbar empat-hala untuk pemandu. Varian Ultra Twin Performance pula menerima kelengakapan yang sama seperti EX30 Ultra, dibezakan hanya dengan unit rangkaian kuasa yang lebih berprestasi.

Lima warna badan ditawarkan untuk EX30 pasaran Malaysia ini iaitu Cloud Blue, Moss Yellow, Crystal White, Vapour Grey dan Onyx Black. Kesemua pilihan warna badan ini dipadankan dengan kabin berwarna Indigo yang menampilkan upholsteri gandingan farbik dan kulit sintetik Nordico serta panel-panel kemasan denim dihasilkan dari bahan kitar semula dań juga liang udara berwarna biru.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required