Menurut pihak Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran (SAMR) China, BYD telahpun memfailkan panggilan semula hampir 100,000 unit kenderaan keluarannya untuk pasaran tempatan kerana berlaku kesalahan dalam proses pengilangan yang mungkin akan mengakibatkan kebakaran, lapor CarNewsChina yang memetic sumber dari laman ITHome.
Panggilan semula tersebut akan membabitkan 96,714 hatchback EV segmen-B BYD Dolphin serta SUV EV segmen-C BYD Atto 3 (atau dikenali sebagai Yuan Plus di China), dan ia akan bermula pada hari ini iaitu 30 September 2024. 87,762 unit dari jumlah tersebut merupakan kenderaan yang diproduksi bermula 4 Februari hingga 26 Disember 2023, manakala 8,952 unit selebihnya diproduksi lebih awal iaitu bermula 2 November hingga 19 Jun 2023.
Untuk lebih spesifik berkenaan masalah tersebut, BYD menyatakan bahawa sebahagian kenderaan yang diproduksi dalam masa berkenaan telah dipadankan dengan unit pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS) yang tidak melalui proses pembuatan yang betul.
Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin akan mengganggu kapasitor pada papan litar elektronik pengawal itu, yang kemudiannya akan menyebabkan keretakan kecil berlaku pada kapasitor di dalamnya. Keretakan tersebut mungkin akan menjadi besar ketika kenderaan digunakan, yang kemudiannya akan menyebabkan litar pintas, panas melampau, dan berpotensi menyebabkan kebakaran.
Bagi mengatasi masalah ini, pengedar-pengedar BYD di China akan memasang pelapik penebat pada pengawal tersebut bagi mengelakkan berlakunya masalah lain yang berkaitan dengan keselamatan. Proses ini tidak akan mengenakan sebarang cas kepada pelanggan, dan BYD akan menghubungi pelanggan yang terlibat menerusi emel, WeChat dan panggilan telefon. Malah BYD turut mewujudkan talian servis khas untuk pelanggan yang terlibat dalam panggilan semula ini.
CarNewsChina menyatakan bahawa ini merupakan panggilan semula terbesar yang pernah dibuat oleh BYD dalam sejarah. Kami difahamkan model-model pasaran Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula berkenaan. Ini kerana Malaysia merupakan pasaran pemanduan sebelah kanan yang berbeza dengan pasaran China yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri, mungkin dibekalkan dengan komponen berbeza.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Masih baik daripada Tesla