MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

Kami difahamkan bahawa MPV tiga-baris tempat duduk dengan unit rangkaan kuasa elektrik sepenuhnya (EV) BYD M6 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. MPV ini telah pun masuk ke pasaran ASEAN bermula dengan Indonesia pada Julai lalu dan kemudian ia turut dilancarkan di Thailand.

Ogos lalu BYD dilihat telah membawa MPV e6 ke Malaysia, namun unit berkenaan dikatakan hanya untuk kegunaan dalaman. M6 merupakan versi lebih mewah berbanding e6, tetapi setakat ini masih belum ada sebarang bayangan spesifikasi dan varian M6 yang akan ditawarkan pada pasaran tempatan kelak.

Di Indonesia M6 hadir dengan versi enam- dan tujuh-tempat duduk, dijual pada harga bermula 379 juta rupiah (RM109,500) sehingga 429 juta rupiah (RM123,900). Manakala di Thailand, MPV ini hanya ditawarkan dalam versi enam-tempat duduk dengan harga bermula 829,900 baht (RM106,800) hingga 929,900 baht (RM119,600).

MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

BYD M6 ini juga ditawarkan dengan dua varian unit rangkaian kuasa di mana kedua-duanya ada di pasaran Indonesia dan Thailand. Varian asas (dikenali sebagai Dynamic di Thailand) dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 163 PS (120 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat.

Manakala varian tertinggi Extended (dikenali sebagai Superior di Indonesia) pula juga menerima motor elektrik tunggal tetapi dengan kuasa lebih besar iaitu 205 PS (150 kW). Bagi varian ini, ia boleh medecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat.

Bagi menggerakkan MPV ini, model asas menerima bateri litium logam fosfat (LFP) Blade berkapasiti 55.4 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran NEDC. Manakala varian lebih tinggi menerima bateri LFP Blade dengan kapasiti lebih besar iaitu 71.8 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 530 km juga dalam kitaran ujian NEDC.

MPV EV BYD M6 akan dilancar di Malaysia tak lama lagi – hingga 204 PS/310 Nm, jarak gerak 530 km NEDC

Untuk mengecas pula, M6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 85 kW, dan sehingga 115 kW untuk Extended. Ini membolehkan kadar pengecasan dari 10-80% bagi varian Extended boleh dicapai dalam masa 40 minit. Untuk pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW untuk semua varian.

M6 dan e6 barkongsi rupa asas yang sama, tetapi M6 datang dengan kemasan-kemasan yang namaak lebih baik. Pada bahagian muka misalnya, M6 hadir dengan rekaan signatur model-model terkini BYD, dengan rekaan gril atas berbentuk bar menghubungkan bahagian lampu LED multi-projektor yang diberi sentuhan baru. Ia juga diberikan kemasan bampar berbentuk sayap yang bersambung juga dengan bukaan udara kecil dengan kemasan kromnya.

Manakala di belakang M6 diberikan lampu kombinasi lebih lebar yang disertakan jalur krom nipis. Lencana BYD lebih ringkas juga tertera, dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” yang lama. Lagi kemasan krom digunakan di bahagian bawah, untuk memberikan imej matang dan menarik. Dan untuk melengkapkan rupanya MPV ini menerima rim 17-inci sebagai ciri standard.

Namun pada sebelah dalam rekaan M6 ini masih banyak yang sama seperti e6. Rekaan papan pemuka, meter analog (dengan paparan multi-info lima-inci) dan teks “Build Your Dreams” dalam font baru masih nampak sama, tetapi M6 menerima kemasan ala kayu dan konsol tengah yang direka semula dengan tuil gear yang besar menggantikan tombol bulat. Skrin boleh pusing di tengahnya pula kini lebih besar, dari 10.1-inci kepada 12.8-inci — sama seperti Dolphin. Apple CarPlay juga datang sebagai ciri standard.

Antara perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem tanpa kunci bersama butang penghidup sistem, kad kunci NFC, pendingin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, cruise control, tempat duduk balutan kulit sintetik, fungsi vehicle-to-load (V2L), sistem kamera 360-darjah dan enam pembesar-suara. Varian Extended pula menerima tambahan rel bumbung, bumbung kaca panoramik, kerusi depan berliang larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi dan pintu ruang barangan berkuasa.

Untuk keselamatan pula M6 datang dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan dan amaran bukaan pintu. Model pasaran Indonesia hanya menerima beberapa ciri bantuan pemandu sebagai standard, seperti AEB, kawalan melayar adaptif, dan bantuan ke tengah lorong. Manakala varian Extended pula menerima tambahan ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek auto dan juga amaran bukaan pintu.

GALERI: BYD M6 di GIIAS 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required