Mitsubishi telah memperkenalkan Outlander PHEV generasi keempat, yang akan dijual di Jepun tidak lama lagi, diikuti pasaran 20 negara Eropah. Selain daripada itu, versi bukan PHEV juga diberitahu akan diberi peningkatan pada tahun hadapan, dengan versi kedua-dua penggerak ini akan ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.
Perubahan paling ketara adalah pada penggerak Outlander PHEV, yang telah dipertingkat dengan bateri berkapasiti 22.7 kWh – sebelum ini 20 kWh. Menurut Mitsubishi, jarak gerak elektrik model ini telah naik menjadi 86 km, mengikut kitaran WLTP.
Pek bateri yang lebih besar ini juga dapat memberikan kuasa berterusan 108% lebih tinggi berbanding sebelum ini, hasil daripada rintangan dalam bateri yang sudah berkurang. Sistem penyejukan yang lebih baik pula membenarkan bateri ini untuk mengeluarkan potensi penuhnya, manakala sistem pam haba memastikan penggunaan yang lebih lama dalam keadaan cuaca sejuk.
Enjin pembakaran dalaman yang digunakan masih tidak berubah, iaitu unit petrol empat silinder sebaris 2.4 liter NA, dengan kuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 203 Nm. Motor elektrik di hadapan masih menghasilkan kuasa 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork 255 Nm, manakala motor di belakang berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 195 Nm. Padanan ini melengkapkan sistem AWC (Super All Wheel Control).
Jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan adalah 306 PS (302 hp atau 225 kW), membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat – laju maksimum dalam mod EV adalah 135 km/j. Mitsubishi memberitahu, kapasiti tangki bahan api telah ditingkatkan kepada 53 liter dan jarak gerak hibrid boleh mencecah sehingga 844 km. Penggunaan bahan api didakwa boleh mencatat serendah 0.8 l/100 km.
Tiga mod pemanduan disediakan, termasuk EV (elektrik sahaja), Series Hybrid (enjin menghasilkan elektrik apabila perlu) dan Parallel Hybrid (kedua-dua motor elektrik dan enjin bekerjasama). Pengurusan kuasa pula disediakan dalam mod Normal (mengoptimakan pemanduan EV/Hybrid secara automatik), EV, Save (mementingkan tahap bateri) dan Charge (mengecas semula bateri).
Bateri pada model ini boleh dicas menggunakan sama ada sambungan Type 2 atau CHAdeMO, dengan sokongan pengecasan kenderaan ke rumah, jadi kuasa boleh dihantar antara rumah dan kenderaan apabila perlu – berguna jika ada gangguan bekalan kuasa.
Mitsubishi juga mengesahkan terdapat tetapan suspensi yang ditala semula, dibuat daripada aluminium ringan kekuatan tinggi untuk mengurangkan berat dan memberikan pemanduan lebih baik. Ia boleh dipilih dalam mod Normal, Eco, Power, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud, sementara tetapan stereng juga diperbaiki. Satu lagi bahagian yang ditambah baik adalah brek, dengan cakera bersaiz 350 mm dipasang di hadapan belakang – rim boleh datang dalam unit 18 atau 20 inci.
Berkenaan dimensi, Outlander PHEV baru ini tidak mencatat sebarang beza dengan ukuran panjang 4,719 mm, lebar 1,862 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak roda 2,704 mm. Penampilannya juga tidak banyak berubah, dengan gril hadapan dikatakan mempunyai penutup aktif.
Rekaan rim 20 inci baru adalah antara bahagian yang terlibat dalam peningkatan ini, bersama dengan pilihan warna Moonstone Grey dan lampu belakang yang mempunyai bentuk pencahayaan baru serta cermin lutsinar. Bahagian dalam juga tidak banyak berubah, dengan skrin sesentuhnya kini bertambah besar menjadi 12.3 inci – sebelum ini sembilan inci.
Sistem infotainmen kenderaan ini juga mendapat sambungan Android Auto tanpa wayar, sebagai tambahan kepada sambungan Apple CarPlay tanpa wayar yang ada sebelum ini, manakala sistem bunyi Yamaha dengan 12 pembesar suara pada varian tinggi menggantikan sistem Bose sebelum ini.
Antara sistem bantuan pemandu yang terdapat pada Outlander PHEV ini adalah Forward Collision Mitigation dengan Autonomous Emergency Braking, Rear Automatic Emergency Braking, Blind Spot Monitoring dengan Lane Change Assist, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan sistem pemerhati pemandu baru.
Meskipun Malaysia sebelum ini ada menerima Outlander generasi ketiga, dalam versi CKD, tetapi model generasi keempat tidak masuk. Walaubagaimanapun, unit PHEV generasi keempat pernah dilihat atas jalan, menaikkan spekulasi Outlander ini akan kembali.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.