Kawasaki dalam diam telah memperkenalkan sebuah motosikal baru berbentuk klasik di Thailand, iaitu W230. Ia mengikut konsep rekaan seperti W800, tetapi datang dengan saiz serta enjin yang lebih kecil.
Menggerakkan W230 adalah enjin satu silinder penyejukan udara, SOHC, 233 cc suntikan bahan api, yang mampu menghasilkan 17 hp pada 7,000 rpm dan 18.9 Nm pada 5,800 rpm. Kuasa ini kemudiannya disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan serta sistem rantai.
Selari dengan konsep klasik yang dibawa, W230 datang dengan rim spoked berwarna krom, dengan saiz 18 inci dibalut tayar 90/90 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 110/90 di belakang.
Meskipun adalah sebuah motosikal yang ringkas, W230 masih diberi dengan sistem brek ABS dual-channel, untuk membantu kecekapan brek yang terdiri daripada cakera tunggal 237 mm di hadapan dan 186 mm di belakang.
Informasi penting motosikal termasuk kelajuan dan tahap rpm dipaparkan melalui meter analog berbentuk bulat, bersama panel LCD kecil di bahagian bawah. Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak di belakang.
Secara keseluruhannya W230 mencatat berat 143 kg dan datang dengan tangki bahan api 12 liter. Tinggi tempat duduk adalah 745 mm. Di Thailand, W230 dijual dalam pilihan warna Pearl Ivory/Ebony, pada harga bermula 149,900 baht (RM19,200).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.