Semalam Proton sudahpun menyiarkan video terbaharu untuk kereta lumba S70 yang dibina oleh sayap perlumbaannya iaitu Proton R3 yang bakal digunakan dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) pada bulan hadapan. Dan hari ini satu kenyataan rasmi telah dihantar kepada kami, bersama beberapa gambar rasmi kereta lumba tersebut.
“Setelah tidak bertanding dalam tiga perlumbaan 1000km Sepang yang lalu, Proton teruja untuk kembali ke grid permulaan pada 2024. Proton S70 R3 menandakan satu pencapaian baru bagi jenama ini apabila kita membawa model yang dibangunkan bersama Geely ke dalam persaingan buat kali pertama. Banyak cabaran perlu diatasi untuk sampai ke tahap ini dengan pelbagai pengubahsuaian dibuat pada kereta standard bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah.
“Namun, terima kasih kepada pasukan R3 yang berdedikasi, kami telah berjaya mencapai matlamat bersedia untuk perlumbaan pada bulan November.
“Walaupun ia merupakan kereta baru, Proton menyahut cabaran untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan Proton terbaru di litar perlumbaan. Walaupun kami menjangkakan persaingan dari pasukan yang telah aktif bertanding selama tiga tahun lepas, kami percaya bahawa pengajaran yang diperoleh dari perlumbaan akan membantu kami membina kereta yang lebih baik untuk pelanggan di masa depan,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, Proton masih belum mengumumkan spesifikasi kereta lumba ini. Namun berdasarkan video yang disiarkan semalam, dengan jelas enjin yang disumbat dalam perut sedan tersebut adalah enjin Campro 1.6L S4PH, bukan enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder asal seperti model produksi sebenar S70.
Enjin ini telah terbukti tahan dan berkuasa digunakan dalam kereta-kereta lumba Proton R3 termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz dan Saga, membolehkan pasukan tersebut menang lima gelaran juara S1K untuk tahun 2012, 2014, 2017, 2018 dan 2019.
Untuk versi terakhir yang dipadankan pada Saga dan juga Iriz yang memenangi S1K untuk tahun 2018 dan 2019, enjin Campro S4PH berkenaan mampu menghasilkan lebih dari 200 hp pada roda hadapan, dan ia digandingkan dengan kotak gear manual perlumbaan jenis dog box.
S70 ini merupakan kereta lumba pertama Proton R3 yang dibina menggunakan asas dari model yang dibangunkan dengan kerjasama Geely. Menerusi gambar rasmi yang lebih terperinci disiarkan hari ini pula mendedahkan bahawa rupa luaran kereta lumba sebenar Proton S70 R3 tersebut agak berbeza berbanding model konsep ‘mock-up’ yang didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu.
Ia nampaknya tidak menggunakan kit badan yang sama seperti model produksi, di mana spoiler hadapan diganti dengan unit yang lebih besar sama seperti kereta lumba Iriz dan Saga sebelum ini, dan tidak dipadankan dengan skirt sisi. Namun spoiler belakang masih nampak serupa seperti versi konsep.
Juga dapat dilihat S70 R3 ini turut menerima set brek perlumbaan dengan sudut camber suspensi hadapan yang ditala dengan sudut negatif. Manakala pada bahagian dalaman, S70 ini turut menerima perlatan-peralatan yang sama seperti kereta-kereta lumba R3 yang lain sebelum ini termasuk paparan instrumen perlumbaan Motec, tempat duduk perlumbaan dari Recaro, rollcage, set padel box AP Racing, tangki bahan api perlumbaan dengan sistem isian pantas dari ATL, jek pneumatik yang diintegrasikan dengan kerangka badan dan pelbagai lagi.
Proton S70 R3 ini dibangunkan berdasarkan regulasi kelas MTC yang bukan sahaja untuk S1K, malah turut sah digunakan untuk perlumbaan Malaysian Championship Series (MCS). Regulasi MTC tersebut memerlukan kereta yang bertanding menggunakan enjin produksi yang boleh diubahsuai dengan sesaran maksima 1.6 liter tanpa pengecas turbo, dan ia adalah seiras dengan undang-undang Group A FIA yang memerlukan ia menggunakan kerangka badan sebenar sama seperti model yang dijual untuk jalan raya.
GALERI: Kereta lumba Proton S70 R3 Concept
GALERI: Gambar rasmi Proton S70 R3 Concept
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.