Proton S70 R3 Concept didedah – bayangan kereta lumba S1K, guna enjin 1.6L 3-silinder NA binaan R3?

Proton S70 R3 Concept didedah – bayangan kereta lumba S1K, guna enjin 1.6L 3-silinder NA binaan R3?

Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS, Serdang hari ini, Proton telah mendedahkan kereta konsep jentera lumba untuk bertanding di perlumbaan Sepang 1000 km (S1K) yang diasaskan dari sedan segmen-C terbaharunya iaitu Proton S70. Ini selari dengan apa yang diumumkan jenama itu pada Februari lalu.

Menurut Proton, kereta lumba ini masih lagi dalam fasa pembangunan dan sebab itu ia masih digelar sebagai Proton S70 R3 Concept. Kesemua cermin tingkap digelap bagi menyorokkan bahagian dalaman yang kami rasa ia masih lagi standard, manakala di luar keempat-empat brek juga masih dilihat menggunakan sistem brek asal S70 versi jalan raya.

Namun apa yang Proton mahu ketengahkan kali ini adalah bagaimana rupa luaran kereta lumba tersebut bersama livery perlumbaan serta kit aero yang dibangunkan oleh pasukan R3 Motorsport. Seperti yang anda boleh lihat, kereta lumba konsep ini menggunakan kit badan sama yang ditawarkan pada model jalan raya, tetapi spoiler ekor itik pada but digantikan dengan spoiler rekaan R3 yang jauh lebih besar.

Selain itu, ia juga dipadankan dengan set rim keluaran tempatan iaitu Raxer Wheels, dari siri RP10X yang dibina bersama bekas ketua divisi Proton R3 satu ketika dahulu iaitu Tengku Djan Ley. Rim berkenaan disarung dengan tayar perlumbaan S1K sebenarnya iaitu Hankook Ventus TD bersaiz 195/55R15. Ia juga menampilkan grafik badan Proton R3 yang menampilkan warna utama perak, kuning dan hitam, hampir sama seperti grafik yang digunakan oleh kereta lumba S1K Proton Preve pada tahun 2012.

Proton S70 R3 Concept didedah – bayangan kereta lumba S1K, guna enjin 1.6L 3-silinder NA binaan R3?

Proton masih belum mengumumkan sebarang perincian teknikal berkenaan kereta lumba ini. Namun jika mengikut undang-undang MTC yang digunakan dalam S1K, kami jangkakan jentera ini masih akan menggunakan enjin asal 1.5 liter tiga silinder GEP3 dari model produksi kerana undang-undang berkenaan memerlukan kereta yang berlumba menggunakan enjin produksi sebenar sebagai asas.

Seperti enjin Campro 1.6 liter yang digunakan pada kereta-kereta lumba Saga, Iriz, Preve dan Suprima S sebelum ini, kami jangkakan enjin 1.5 liter GEP tersebut turut akan menerima pengubahsuaian menyeluruh menggunakan komponen-komponen dalaman perlumbaan sebenar dan kapasitinya ditingkatkan sehingga 1.6 liter, tanpa menggunakan pengecas turbo menurut undang-undang MTC dan mampu menghasilkan kuasa mencecah 200 hp yang dikira pada roda hadapan, menerusi kotak gear manual perlumbaan jenis dog box bagi menggantikan kotak gear klac berkembar automatik asal.

Sekiranya jentera ini sempat untuk turun ke litar untuk berlumba dalam S1K pada hujung tahun ini, ia menandakan kebangkitan semula pasukan Proton R3 ke dalam kancah sukan permotoran sebenar sejak ‘direhatkan’ selepas berakhirnya S1K 2019.

Sejak penganjuran pertama S1K bermula pada tahun 2009, Proton R3 telah pun berjaya merangkul sebanyak lima gelaran juara, termasuk gelaran juara tiga-tahun berturut-turut iaitu pada 2017, 2018 dan 2019, di mana dua gelaran terakhir berkenaan dirangkul dengan Proton Iriz.

“Proton mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada tahun 2003. Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaru Saga. Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama Proton ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh Proton dan Geely,” kata Roslan Abdullah.

Proton juga mengumumkan bahawa ia bakal menampilkan dua buah kereta lumba Proton S70 R3 ini dalam perlumbaan sebenar S1K nanti. Sebelum ini juga Proton ada menyatakan bahawa ia turut berminat akan memperkenalkan versi jalan raya untuk S70 R3 ini. Mungkin model berkenaan boleh kita lihat pada awal tahun hadapan selepas kereta lumba ini beraksi?

GALERI: Gambar rasmi Proton S70 R3 Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required