PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

Dilancarkan buat pertama kalinya di Malaysia pada 2018, X70 yang merupakan SUV pertama keluaran Proton ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Apatah lagi pada saat trend beralih ke SUV (dari sedan, kompak atau hatchback) kian popular di kalangan masyarakat kita. Ternyata kehadirannya di pasaran menepati citarasa ramai.

Malah SUV segmen-C ini juga dikhabarkan telah terjual lebih 100,000 unit sejak pertama kali dilancarkan. Ia juga telah menerima penambahbaikan minor pada tahun 2022, dan terbaharu, pada 15 Ogos lalu, model facelift untuk versi 2025 pula dilancarkan.

Biar pun terpaksa bersaing rapat, antaranya dengan Honda CR-V, Mazda CX-5 dan SUV dari China termasuk Chery Tiggo 7 Pro, Haval H6 Hybrid, namun kedudukan X70 dijangka kekal utuh di posisinya.

PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

Mengapa kami menaruh keyakinan bahawa X70 2025 masih mampu mengekalkan kedudukannya walau pun berhadapan dengan banyak persaingan? Hasil dari pandu ujinya di Kota Kinabalu, Sabah selepas ia dilancarkan, inilah jawapannya.

Bagi sesiapa yang mungkin ‘terlepas pandang’, barisan X70 facelift 2025 terdiri daripada Standard dengan harga bermula RM98,800, Executive (RM110,800), Premium (RM123,800) dan Premium X (RM126,800). Proton turut membuat keputusan untuk mengugurkan enjin 1.8 liter T-GDI dan juga sistem pacuan semua roda dalam mana-mana pilihan varian.

Jadi kesemua varian Proton X70 facelift 2025 ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang mampu menghamburkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Kuasa disalurkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini.

PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

Menurut Proton, walaupun angka kuasa masih nampak sama, namun unit rangkaian kuasa pada X70 facelift ini telah dikemaskini dan dapat memberikan penggunaan bahan api 7.3 liter setiap 100 km, atau 4% lebih rendah dari model MC 2022. Ia dapat dicapai menerusi penambahbaikkan dibuat pada keberkesanan pembakaran, pengurusan haba dan pengurangan geseran, secara tidak langsung turut memberikan kadar NVH yang lebih rendah.

Ketika pandu ujinya di Kota Kinabalu, kami diberikan varian tertinggi, Premium X, dan bergilir-gilir memandu bersama dua rakan media lain, sehingga ke Kundasang melewati Gunung Kinabalu yang sedang dibaluti kabus.

Jika ditanya, adakah X70 baharu ini cukup padu untuk memanjat laluan berbukit menuju ke Kundasang, jawapannya, “ya, kuasanya mencukupi, walau pun tidaklah betul-betul padu”. Kalau mengikut risalah spesifikasinya, pecutan dari 0-100 km/j dapat dicapai dalam 9.8 saat.

PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

Ketika perlu memotong kenderaan di laluan berbukit, kuasa pendikit X70 2025 ini diberikan sedikit tekanan agar pacuannya lebih lancar dan ia memuaskan kerana bertindak secara responsif sewaktu diperlukan.

Pergerakan kotak gear automatik dwi-klac basah 7DCT juga terasa ‘lebih meyakinkan’ hasil talaan yang dibuat sejak X70 ini diberikan versi CKD pada tahun 2020. Ia boleh dikatakan cekap, dan buat masa ini, Proton masih yakin dengan kredibiliti kotak gear dengan teknologi yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo, namun diberikan talaan yang lebih sesuai dengan penggunaan di Malaysia.

X70 2025 ini masih tidak diberikan pedal penukar gear di belakang roda stereng, namun pemanduan mod manual masih boleh dilakukan dengan bantuan penggunaan tuil gear biasa. Dengan mod manual, pengendalian X70 ini agak menyeronokkan, apatah lagi bila melayan selekoh berbukit di Kundasang. Malah kawalan roda stereng juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengendalian yang memuaskan.

Sistem suspensi yang sama dengan menggunakan topang MacPherson di hadapan dan Multi-Link di belakang masih berkeupayaan memberikan kestabilan yang optima buat X70 2025 ini.

Cuma ada satu persoalan di sini, yang tidak menerima jawapan dari Proton walau pun telah ditanya, mengapa ada ketikanya geseran roda hadapan X70 2025 ini agak kuat terutamanya ketika memulakan pacuan dengan sedikit daya pecutan yang tinggi.

Perkara ini terjadi beberapa kali bukan sahaja pada unit yang kami pandu uji ini, bahkan ada X70 yang dipandu rakan media lain turut mengalami perkara yang sama dan bunyi geseran kuat itu memang jelas kedengaran. Ia juga terjadi sewaktu penulis ‘meminjam’ unit pandu uji ini sekali lagi sekembali dari Kota Kinabalu untuk sesi fotografi. Selepas selesai membayar tol, ia terjadi walau pun ketika itu, penulis tidak memberikan tekanan mendadak pada pedal pendikit.

Namun kemusykilan tergantung di situ selepas pihak Proton memaklumkan ia mungkin terjadi disebabkan tekanan yang mendadak pada pedal pendikit.

Selebihnya, tiada masalah dengan pengendalian X70 2025 ini. Ia masih selesa dipandu, dan daya tarikan utama yang ada padanya, sudah tentulah imej yang dipertaruhkan. Memang tertarik dengan imejnya, bagaikan cinta pandang pertama.

Untuk facelift kali ini, ia menerima rombakan pada bahagian rupa luaran paling besar berbanding versi pertamanya. Boleh dikatakan ia ‘bersalin kulit’ walau pun bukan secara 100%. Ia diberikan bampar hadapan, fender sisi, lampu utama, gril dan juga penutup bonet baharu dengan rekaannya diadaptasikan dari Geely Boyue facelift yang diperkenalkan pada 2022.

Kini lampu utamanya diberikan rekaan lebih nipis, bersegi dan elegan berbanding versi sebelumnya. Padanan teknologi LED diberikan dengan rekaan tiga kluster berbeza di dalam perumah — dengan 47 unit lampu LED digunakan, lengkap dengan lampu nyalaan siang. Perubahan lampu tersebut turut diselarikan bersama fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan bentuk baru berkenaan.

Bonet hadapan pula menampilkan rekaan yang lebih berotot, manakala bampar hadapan datang dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar. Untuk gril, Proton menghasilkan gril lebih unik berbanding Boyue dengan rekaan pin krom diinspirasikan dari corak kain songket seperti pada gril sedan S70 dan SUV segmen-D X90. Melengkapi gayanya, varian tertinggi X70 2025 diberikan roda aloi 19-inci dengan rekaan yang menarik.

Bukan setakat itu sahaja, Proton turut menghasilkan rekaan bampar belakang X70 2025 ini yang berbeza dari Boyue, dengan menampilkan reflektor melintang seperti diinspirasikan dari rekaan pada Perdana V6 dan Perdana ‘Accord’ sebelum ini, bersama liang udara tambahan pada setiap sisi. Kalau dilihat pada pandangan mata kasar, bahagian belakang X70 2025 nampak lebih labuh berbanding sebelum ini, hasil rekaan semula bampar belakang.

PANDU UJI: Proton X70 2025 mempertaruhkan sentuhan gaya ‘beli jiwa’ – prestasi masih kekal sama

Memasuki kabinnya, penampilan lebih segar diberikan dengan naiktaraf ciri kelengkapan yang lebih baik. Pertama, mata mesti memandang bahagian papan pemukanya, meneliti satu persatu ciri yang ada. Memang nampak kelainannya berbanding versi terdahulu. Ini termasukklah pemilihan roda stereng yang kini menggunakan unit rata di bawah sama seperti pada model-model terkini Proton seperti S70 dan X90.

Bukan itu saja, imej kluster paparan instrumen kombinasi digital LCD juga telah dikemaskini. Manakala skrin sistem infotaimen ala ‘terapung’ ini juga kini lebih besar dengan saiz 12.3-inci dan ia berbentuk segi empat sebenar berbanding bentuk seperti ‘mangkuk’ sebelum ini. Skrin ini dikuasakan oleh Atlas 2.0 dan perkakasan IHU ini telah pun dipertingkan kepada dwi prosesor quad-core, RAM berkapasiti 4GB dan storan 32GB.

Ternyata X70 2025 ingin ‘lari’ sebagai jelmaan Boyue, dengan menampilkan kemasan hitam berkilat bersama lampu ambien 72-warna bina-dalam dengan grafik seakan rekaan gril songket di hadapan panel pemuka (di atas glove box) yang boleh berkelipan mengikut ritma lagu yang dimainkan sistem audio.

Perubahan ciri kabin lain yang Diberikan termasuklah liang pendingin hawa yang kini berwarna hitam (dulu rona Perak), upholsteri kulit Nappa dalam kemasan Stone Grey bagi menggantikan warna perang, dan hanya untuk varian Premium dan Premium X ia menampilkan corak jahitan silang menyilang pada panel pintu. Tombol gear masih kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi corak penukaran gearnya telah berubah serta datang dengan butang ‘P’ berasingan.

Ciri terbesar lain yang dipertaruhkan ialah X70 2025 kini menjadi model Proton pertama yang mula menawarkan sokongan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Namun buat masa ini, hanya Apple CarPlay tanpa wayar yang sudah boleh berfungsi selepas sistem OTA dikemaskinikan.

Barisan X70 2025 ini turut diberikan sistem audio dengan enam-pembesar suara, dan juga tweeter baharu pada tiang-A, tetapi ia tidak lagi menerima pembesar suara jenama Kenwood dan tiada lagi varian yang dibekalkan dengan sub-woofer.

Selain itu, X70 2025 juga dilengkapi dengan slot USB sebelum ini di bahagian sisi konsol tengah diganti dengan jenis USB-C untuk sebelah penumpang, sebelah pemandu masih kekal menggunakan USB-A, sementara di belakang ia diberikan slot USB-A dan juga USB-C. Slot USB untuk dashcam pula telah dipindahkan dari bahagian pelapik bumbung ke bahagian sisi kamera ADAS untuk menjadikannya lebih mudah dicapai.

Bagi aspek keselamatannya, X70 2025 diberikan Ciri termasuk kunci automatik ketika pengguna menjauhi kenderaan, pintu tailgate bukaan tanpa sentuh automatik (tiada lagi penderia bukaan kaki) kamera 360-darjah yang lebih jelas, sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), dan juga sistem-sistem keselamatan pasif yang ada sama seperti sebelum ini.

Manakala bagi sistem keselamatan aktif pula, untuk dua varian tertinggi X70 2025, ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan 13 fungsi bagi membolehkan ia mencapai pemanduan autonomi Tahap 2, berbanding hanya Tahap 1 pada versi sebelum ini.

Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB) dan amaran perlanggaran depan; ACC dengan Stop/Go+ Intelligent Cruise Control; amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong dan kawalan ke tengah lorong; bantuan menukar lorong dan amaran ketika membuka pintu; kawalan lampu tinggi pintar; maklumat papan tanda trafik; amaran perlanggaran belakang; dan amaran lintasan trafik di belakang.
Untuk dua varian tertinggi X70 2025 ini, ia ditawarkan dengan lima warna badan berbeza iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baharu Marine Blue.

Dengan harga yang dinyatakan di perenggan atas, setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan pakej data internet sebanyak 1GB sebulan selama lima-tahun, serta enam kali kos buruh percuma untuk servis penyelenggaraan.

Sebagai perbandingan, model pesaingannya Mazda CX-5 bermula dengan harga RM150k, Honda CR-V dengan RM160k, Chery Tiggo 7n Pro berharga RM124k, Haval H6 Hybrid dengan RM140k dan MG HS yang bakal dilancarkan tidak lama lagi dijangka berharga antara RM139k-RM150k. Apa pun pilihan terletak di tangan anda. Mahu citarasa Malaysia (dengan bancuhan China), Jepun atau pun China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required