CEO BMW Oliver Zipse mendesak agar Kesatuan Eropah (EU) membatalkan pengharaman penjualan kenderaan baharu dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) di benua berkenaan pada 2035 kerana langkah ini bakal menyebabkan pengeluar-pengeluar automotif Eropah terpaksa bergantung kepada pembekal bateri dari China, lapor Reuters.
Menurutnya ketika berucap di Paris Motor Show 2024 Selasa lalu, suasana di Eropah buat masa sekarang “sedang menuju ke arah berputus asa” dan rantau tersebut perlukan rangka kerja kawal selia baharu untuk kekal berdaya saing. Zipse sebelum ini berusaha untuk menyakinkan pembuat dasar untuk membenarkan pelbagai teknologi untuk ke arah neutral karbon termasuk bahan api alternatif seperti e-fuels atau bahan bakar bio dan sel bahan api hidrogen.
“Pembetulan semula sasaran 100% BEV pada 2035 sebagai sebahagian daripada pakej pengurangan CO2 yang komprehensif juga akan mengurangkan pergantungan OEM Eropah kepada China untuk bateri,” katanya. “Untuk mengekalkan hala tuju yang berjaya, laluan teknologi-agnostik yang ketat dalam rangka kerja dasar adalah penting,” tambahnya lagi.
EU telah meluluskan undang-undang yang memerlukan pengeluar kereta menjual kenderaan dengan emisi CO2 sifar bermula 2035 pada Mac lalu, yang secara tidak langsung mengharamkan terus penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2035. Ia akan dilakukakan secara berperingkat dengan mengetatkan undang-undang emisi sedia ada di mana pada 2030, kereta-kereta dengan enjin pembakaran dalaman yang dijual perlulah menghasilkan emisi CO2 55% lebih rendah berbanding pada 2021.
Namun langkah ini telah menyebabkan industri automotif Eropah kini merudum kerana jualan kenderaan elektrik penuh sedang perlahan, sementara pengeluar-pengeluar automotif risau akan terjejas kerana diberikan saman yang tinggi kerana menjual kenderaan berenjin dengan kadar emisi CO2 yang lebih tinggi dari dibenarkan. Antara yang mendesak agar sasaran CO2 ini diringankan atau ditangguh termasuk BMW, Volkswagen, Renault dan juga kerajaan Itali.
Walau bagaimanapun untuk Jerman, negara asal Zipse dan jenama BMW sendiri menolak sebarang semakan semula awalan untuk sasaran tersebut dengan alasan bagi memberikan hala tuju yang lebih jelas untuk industri dan keperluan mendesak bagi menangani masalah perubahan iklim.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.