MG ES5, iaitu sebuah SUV elektrik penuh yang akan menggantikan ZS EV kini sudah didedah di China. Menurut CarNewsChina, SUV segmen B ini dijangka dijual pada harga 100k-150k yuan (RM60k-RM91k) apabila ia dilancarkan di China hujung tahun ini.
Menggerakkannya adalah motor elektrik 170 PS/250 Nm yang terletak di belakang, mendapat kuasa daripada sama ada bateri lithium iron phosphate (LFP) 49.1 kWh atau 62.2 kWh. Bergantung kepada kapasiti, bateri ini boleh memberikan jarak gerak antara 425 km-525 km mengikut kitaran CLTC. Pecutan 0-100 km/j dapat dibuat dalam masa lapan saat, manakala laju maksimum pula adalah 170 km/j.
Turut dinyatakan oleh CarNewsChina adalah kenderaan ini menggunakan platform elektrik penuh Nebula daripada SAIC (juga digunakan pada MG4) dan menampilkan suspensi belakang jenis five-link independent. Untuk dimensi, ia mencatat panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dan jarak roda 2,730 mm.
Sebagai gambaran, ES5 ini mempunyai saiz hampir seperti BYD Atto 3, tetapi apabila dibandingkan dengan Chery Omoda 5, ia adalah 33 mm lebih tinggi dan jarak rodanya 100 mm lebih panjang.
Melalui gambar daripada Autohome, di sini juga kita dapat melihat gambar bahagian dalamnya. Antara yang tersedia adalah panel instrumen LCD, skrin sesentuh di tengah, roda stereng dengan bahagian bawah rata, bumbung panoramik, konsol tengah dua tingkat serta pengecas telefon tanpa wayar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.