GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

Chery bukan sahaja melangkah agresif di Malaysia, bahkan juga di Indonesia. Malah pengeluar kereta dari China ini telah kembali ke pasaran Indonesia sebelum dilancarkan semula di Malaysia, malah turut mempunyai kilang pemasangan di republik berkenaan.

Dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, Chery turut mempamerkan dua model SUV keluarannya yang telah dilancarkan di Malaysia iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Di pasaran Malaysia, kita menerima versi lama bagi Tiggo 8 Pro. Manakala untuk pasaran Indonesia, Chery telah mengumumkan SUV elektrik Omoda 5 EV kini telah pun dibuka untuk tempahan.

Ketika muncul di Auto Shanghai 2023 pada April lalu, sewaktu Omoda 5 EV diperkenalkan secara rasmi, unit pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dipamerkan. Namun untuk GIIAS, unit pemanduan sebelah kanan (RHD) yang dipamerkan, ini bermakna transformasi antara LHD ke RHD telah pun selesai untuk tujuan dipasarkan di Indonesia dan Malaysia.

GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

Difahamkan Omoda 5 EV yang bakal memasuki pasaran Malaysia adalah dari unit import sepenuhnya (CBU) dari China, mengambil manfaat dari negara kita yang masih memberikan insentif cukai percuma untuk EV yang diimport dari negara luar.

Omoda 5 EV ini memiliki bateri 61 kWh yang terletak di bawah lantai yang menjanakan motor 221 hp (165 kW). Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya mencecah 15 kWh bagi setiap 100 km.

Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas dalam tempoh 35 minit untuk mendapatkan status pengecasan 0-80%. Ia mampu memberikan jarak gerak hingga 450 km dalam pengecasan penut, mengikut kitaran domestik CLTC dari China.

GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

Berbanding dengan Omoda 5 dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), versi EV ini memiliki wajah yang berbeza. Imej yang diperagakan lebih ringkas dan konvensional. Tiada logo diberikan, sebaliknya perkataan Chery tertera pada hujung hadapannya. Roda aero dua-tona juga ditampilkan.

Di dalamnya, ia diberikan skim warna yang menarik dengan rona biru sebagai warna utama, dikontraskan dengan jahitan kuning dan kemasan kayuan pucat. Roda sterengnya dipaparkan dengan logo Chery, dan papan pemuka yang tampil moden masih dikekalkan dengan skrin utama. Untuk versi ICE, tuil gear telah disingkirkan.

Omoda 5 EV bakal tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Adakah ia mampu memberikan persaingan buat SUV EV yang telah pun diperkenalkan di Malaysia termasuk BYD Atto 3? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required