Tahun ini sekali lagi Yamaha Ego Gear diberikan penampilan baru dengan warna kali ini terdiri daripada tiga pilihan iaitu Grey, Cyan dan Navy Blue. Harganya masih kekal seperti tahun lepas – RM5,998 tidak termasuk insurans.
Bahagian lain skuter ini tidak berubah dan masih sama seperti waktu ia mula dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2021. Bermula pada bahagian enjin, ia digerakkan oleh unit satu silinder suntikan bahan api, SOHC 125 cc, bersama padanan transmisi automatik, untuk menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.
Menambah lagi kecekapan penggunaan bahan apinya, enjin ini didatangkan bersama sistem Start and Stop yang menggunakan Smart Motor Generator. Walaupun Ego Gear adalah sebuah skuter kecil, ia didatangkan dengan lampu hadapan jenis LED, lampu kecemasan serta soket pengecas USB yang mudah diakses untuk kemudahan pengguna. Panel meter pula masih menggunakan unit analog biasa.
Sistem brek skuter ini menggunakan gabungan unit cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 14 inci dan dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang.
Perincian lain Ego Gear adalah termasuk tangki bahan api 4.2 liter, berat 95 kg dan tinggi tempat duduk 750 mm. Setiap pembelian Ego Gear datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.