Tiada sebarang pengumuman untuk menyambung pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV) dibuat oleh Perdana Menteri merangkap menteri kewangan pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 petang ini. Jadi boleh dianggap pengecualian cukai untuk model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU) akan berakhir pada 31 Disember 2025.
Berdasarkan perancangan kerajaan yang sudah diumum sebelum ini, pengecualian cukai untuk model-model EV tersebut akan diteruskan bermula 2026, namun hanya untuk model-model pemasangan tempatan (CKD). Perubahan terhadap perancangan sistem cukai jalan untuk EV juga tidak disebut, jadi boleh dianggap pemilik-pemilik EV bakal dikenakan cukai jalan pada 1 Januari 2026.
Namun dalam pembentangan Belanjawan ini Anwar ada menyelitkan kenyataan bahawa Perodua kini sedang membangunkan model EV yang bakal dijual pada harga di bawah RM100,000. Perkara ini tidak diperincikan lebih lanjut, tetapi ia mungkin berkaitan dengan model konsep EV emo-1 yang telah didedahkan oleh Perodua pada Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu.
Model konsep tersebut dihasilkan berasaskan Perodua Myvi generasi sedia ada, dipacu oleh sebuah motor elektrik tunggal pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 68 PS (kadar 50 kW, dengan puncaknya pada 120 kW) dan tork 220 Nm (angka 315 Nm dipaparkan di skrin pameran), membolehkan Myvi ini mencapai 100 km/j dalam masa antara tujuh ke sembilan saat.
Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion NMC dengan kapasiti 55.7 kWh (paparan di panel menunjukkan 56.7 kWh), dan menurut Perodua dapat memberikan jarak perjalanan 350 km (dipaparkan di skrin 400 km) dengan satu cas penuh. Ia mengambil masa lima jam untuk dicas sepenuhnya melalui pengecas AC 11 kW, manakala pengecas DC 50 kW memerlukan hanya satu jam lebih.
Versi produksi untuk model konsep emo-1 ini dijangka bakal didedahkan pada tahun hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.