Pembukaan Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org hari ini dirancakkan dengan Proton eMas 7 yang bukan sahaja didedahkan hampir sepenuhnya, malah tempahannya juga telah dibuka. Namun model-model lain Proton yang diletakkan oleh Proton di reruai mereka dalam acara ini turut menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai tawaran yang diberikan.
Bagi yang menempah SUV segmen-D Proton X90 di ACE hari ini, mereka akan diberikan rebat tunai sehingga RM3,000 serta pakej servis percuma untuk dua tahun yang bernilai RM2,175. Proton X90 ini ditawarkan dalam empat varian, di mana kesemuanya dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem hibrid ringkas 48-volt, menghasilkan kuasa 190 PS/300 Nm yang dialirkan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Manakala bagi pengunjung yang menyertai pandu uji, membuat tempahan dan mendaftar pembelian mana-mana model Proton baharu, mereka berpeluang untuk memenangi sebuah Proton S70 menerusi cabutan bertuah yang dibuat sebagai sebahagian dari kempen akhir tahun Proton Vaganza.
Bagi yang masih berbelah bagi untuk menempah Proton eMas 7 atau tidak, fikiran and mungkin boleh dimuktamadkan dengan datang ke ACE 2024. Tempahan bukan sahaja dibuka, malah Proton turut memberikan anda peluang membelek SUV ini dengan lebih dekat dan merasai sendiri suasana di dalam kabin.
Ia belum lagi dilancarkan (dijangka pada Disember ini) namun Proton telah mengesahkan bahawa eMas 7 akan dijual pada harga anggaran RM120,000. Model EV pertama dari Proton ini menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm pada gandar hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.
eMas 7 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Varian asas Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala varian Premium pula menerima bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian NEDC.
Jadi apa tunggu lagi? Jom ke ACE 2024 yang kini sedang berlangsung di Setia City Convention Center. Ia bermula hari ini, 26 Oktober sehingga esok, 27 Oktober 2024. Banyak lagi promosi yang turut ditawarkan oleh jenama-jenama automotif lain yang mengambil bahagian, dan jika anda membeli kereta di ACE 2024, voucher bernilai RM3,000 menanti. Masuk adalah percuma!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.