Sudah dijangka akan dilancarkan di negara kita, Mazda CX-60 kini ditemui di atas jalan raya oleh pembaca kami yang menghantarkan gambar. Model ini diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada tahun 2022, dan merupakan SUV pertama yang menggunakan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan enjin di hadapan dan pacuan roda belakang.
Setakat ini tidak diketahui apa enjin yang berada pada model di dalam gambar. Walaupun begitu, jika kita lihat negara jiran seperti Filipina, mereka mendapat pilihan sama ada enjin enam silinder turbo petrol atau diesel. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda.
Kedua-dua enjin ini mempunyai kapasiti 3.3 liter, dengan unit petrol mampu menghasilkan 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan tork 450 Nm, manakala unit diesel pula berkemampuan 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan tork 550 Nm. Di antara enjin ini dan transmisinya, terdapat motor elektrik 16 PS (16 hp atau 12 kW) dan tork 153 Nm, yang melengkapi sistem hibrid ringkas M Hybrid Boost 48 volt dengan bateri lithium ion 0.33 kWh.
Di Singapura, SUV ini cuma datang dengan enjin petrol empat silinder 2.5L NA yang berkuasa 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk memacu roda belakang. Tiada sistem hibrid bagi varian ini.
Indonesia baru sahaja menerima CX-60 ini Julai lalu, dengan ditawarkan dalam dua varian, tetapi enjin tetap sama, iaitu unit petrol enam silinder 3.3 liter turbo sama seperti Filipina. CX-60 juga hadir dalam versi plug-in hybrid dengan 327 PS (323 hp atau 241 kW) dan tork 500 Nm, tetapi ia tidak ditawarkan di negara Asia yang disebutkan tadi.
Bagi yang mahu mengetahui kedudukan CX-60 di dalam pilihan model Mazda, ia mencatat ukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,870 mm. Ini menjadikannya 190 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding CX-5, tetapi lebih pendek berbanding CX-8 yang mencatat 4,900 mm panjang.
GALERI: Mazda CX-60 di Indonesia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.