Apabila diperkenalkan untuk pasaran nanti, Mercedes-Benz CLA generasi baru akan mendapat enjin pembakaran dalaman dan juga penggerak elektrik penuh. Bagi enjin biasanya, Car News China melaporkan, Mercedes-Benz akan menggunakan unit 2.0L turbo yang dibangunkan oleh Horse Powertrain, iaitu satu kerjasama antara Geely dengan Renault.
Enjin ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 250 hp, tork 360 Nm dan akan dikeluarkan di China. Enjin sedia ada Mercedes-Benz yang hampir prestasinya dengan enjin baru ini adalah unit petrol empat silinder turbo M260 seperti yang digunakan pada A250 sedan pasaran Malaysia, mampu menghasilkan 224 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm ke 4,000 rpm.
CLA generasi baru ini sudah dipertontonkan kepada awam semasa festival fesyen dan fotografi Festival d’Hyères di Perancis, namun masih ditutup dengan pelekat samaran. Ia dibina atas platform MMA, yang boleh menerima penggerak elektrik penuh ataupun enjin pembakaran dalaman.
Car News China juga melaporkan bahawa model baru ini akan menampilkan sama ada enjin hibrid ringkas ataupun elektrik penuh, tanpa pilihan plug-in hybrid. Ini bermakna, enjin 2.0L turbo daripada Horse Powertrain itu akan mempunyai pembantu elektrik sebagai pelengkap.
CLA generasi baru ini dijangka mendapat spesifikasi seperti Concept CLA, dengan binaan 800 volt yang boleh menerima pengecasan pantas sehingga 250 kW, dan jarak gerak sehingga 400 km selepas dicas selama 15 minit. Cas penuh boleh membawa ia bergerak sehingga 750 km, dengan kadar penggunaan tenaga 12 kWh bagi setiap 100 km.
Bagi versi elektrik penuh, Concept CLA didedah mempunyai motor elektrik belakang 175 kW (238 PS) bersama transmisi dua kelajuan, dikatakan mempunyai kecekapan tenaga sehingga 93%. Car News China menambah, CLA baru versi produksi akan mendapat bateri 89.6 kWh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.