Selepas membawa model ‘asas’ roadster SL talaan AMG generasi baharu iaitu SL43 tahun lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi melancarkan versi paling berkuasa Mercedes-AMG SL63 4Matic+ pada pasaran tempatan. Jika SL43 dijual pada harga hampir RM1 juta, SL63 ini pula diumum dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,898,888!
SL63 ini masih belum menerima enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris dengan sistem PHEV seperti C63 generasi baharu, sebaliknya ia masih ‘mengaum’ dengan enjin M177 V8 4.0 liter turbo berkembar yang menjana 585 PS dan tork maksima 800 Nm.
Ia digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ yang membolehkan tork diagihkan pada semua roda atau pemandu boleh memilih agar ia menjadi sebuah jentera pacuan roda belakang sebenar.
Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pakej AMG Dynamic Plus yang memberikan LSD elektronik AMG pada gandar dan cagak-cagak enjin dinamik serta mod ‘Race’ selain mod pemanduan lain termasuk Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.
Gandingan semua ini membolehkan Mercedes-AMG SL63 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 315 km/j. Sebagai perbandingan, SL43 hanya menerima enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 381 PS/480 Nm hanya memacu roda belakang yang membolehkan ia memecut pada jarak sama dalam masa 4.9 saat dan mencatat kelajuan maksima 275 km/j.
Bagi menampung unit rangkaian kuasa yang lebih buas ini, SL63 turut menerima suspensi adaptif AMG Active Ride Control, serta dibantu sistem penstabil anti-oleng aktif dan juga stereng untuk roda belakang yang memberikan putaran arah sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kelincahannya.
Pada bahagian luaran, SL63 ini menampilkan rupa yang lebih garang berbanding SL43 menerusi rekaan bampar hadapan dengan bahagian ambilan udara sisi yang direka lebih agresif, bersama bampar belakang dengan tambahan liang udara sisi serta unit diffuser yang tampil dengan tip ekzos bersegi.
SL63 ini juga diberikan rim aloi forged AMG 10-jejari berdiameter 21-inci. Juga dapat dilihat adalah set brek AMG dengan angkup dalam kemasan kuning. Antara perincian standard yang turut dibekalkan untuk SL63 pasaran Malaysia ini termasuk AMG Night Package, AMG Exterior Carbon Package, sistem lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.
Model generasi terbaharu ini kembali menggunakan bumbung fabrik yang kali terakhir digunakan pada SL generasi R129. Bumbung ini terbuka sepenuhnya dalam masa 15 saat, dan boleh beroperasi pada kelajuan 60 km/j ke bawah. Dengan bumbung fabrik ini juga membolehkan SL geneasi baharu tersebut kembali menawarkan dua lagi tempat duduk di belakang.
Dalam kabin, SL63 terbaharu ini datang dengan tempat duduk kulit Nappa AMG Performance, pelapik bumbung Manufaktur dengan gentian mikro Microcut hitam, perapi-perapi gentian karbon AMG, roda stereng AMG Performance, sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan skrin potret 11.9-inci dan pakej Driving Assistance.
Setiap pembelian Mercedes-AMG SL63 ini akan dilindungi oleh waranti selama empat-tahun tanpa had perbatuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.