Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan tiga model prestasi AMG di KL Base Sungai Besi, sebelum berlangsungnya acara Mercedes-Benz World yang diadakan pada lokasi sama pada 5 dan 7 Julai ini. Antara tiga model tersebut, yang ditunggu-tunggu sudah tentulah versi paling berkuasa untuk C-Class W206 iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance. Model ini dilancarkan dalam versi F1 Edition di sini, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM958,888.

C 63 generasi W206 ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada September 2022. Dan seperti yang diketahui, ia menghasilkan kuasa yang lebih besar dari model generasi sebelumnya, tetapi enjin 4.0 liter V8 twin-turbo sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder yang digandingkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV).

Enjin yang dimaksudkan adalah unit M139L 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan desakan turbo, sama seperti yang terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45 S, tetapi ia dipasang menegak ke belakang seperti pada model C 43 dan SL 43 (sebab itu ia diberi kod “L” di belakang, bermaksud Longitudinal). Enjin M139L pada C 63 S ini juga menerima pengecas turbo lebih besar dari C 43 dan SL 43, tetapi masih menggunakan sistem turbo dibantu motor elektrik yang diadaptasi terus dari teknologi Formula 1 pasukan Mercedes-AMG Petronas.

Dengan enjin petrol ini sahaja, Mercedes-AMG C 63 S ini dapat mengerah sejumlah 476 hp pada takat 6,725 rpm, dan tork maksima 545 Nm bermula 5,250 hingga 5,500 rpm – ia didakwa sebagai enjin produksi empat silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, jauh lebih berkuasa dari M139 pada Mercedes-AMG A 45 S yang menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Tidak cukup dengan itu, ia turut disertakan dengan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, memberikan kuasa sehingga 204 hp (150 kW). Jadi secara keseluruhan, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini menghasilkan kuasa 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm. Dengan sistem hibrid tersebut Mercedes-AMG C 63 S baharu ini ditimbang dengan berat 2,111 kg, atau sekitar 300 kg lebih berat berbanding C 63 S dengan enjin V8 generasi terdahulu.

Namun ia tetap membolehkan Mercedes-AMG C 63 S E Performance 2024 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat, lebih pantas dari C 63 S V8 sebelum ini hanya mencatatkan pecutan sama dalam masa 4 saat. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan AMG Driver Package membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 290 km/j.

Bagi menghasilkan kuasa yang tinggi serta angka prestasi yang menakjubkan ini, unit rangkaian hibrid E Performance bukanlah ringkas seperti sistem-sistem hibrid lain. Pada pengecas turbo misalnya, selain dari bergerak menggunakan gas ekzos, ia turut menerima motor elektrik senipis 4 cm di tengah-tengah antara turbin dan pemampat, yang mampu menghilangkan ‘lag’, memberikan boost segera sebaik sahaja pedal pendikit diperah tanpa perlu menunggu gas ekzos memutarkan turbin, serta memberikan respon lebih baik pada setiap tahap putaran enjin.

Walaupun bersaiz kecil, motor elektrik yang dikawal secara elektronik pada pengecas turbo berkenaan menggunakan asas sistem elektrik 400-volt (hanya 48 volt pada model-model 43), dan ia mampu berputar sehingga 150,000 rpm.

Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Enjin ini juga dibekalkan dengan dengan unit stater generator yang digerakkan oleh tali sawat (RSG). RSG merupakan komponen yang menggabungkan motor penghidup dan alternator, berfungsi untuk menghidupkan enjin petrol dalam masa yang sama mampu membekalkan kuasa elektrik kepada komponen seperti sistem pendingin hawa dan lampu.

RSG ini turut berhubung dengan jaringan sistem asas 400-volt pada kereta berkenaan, dan mampun membekalkan kuasa elektrik ketika kereta tidak bergerak sekiranya bekalan kuasa pada bateri voltan tinggi pada tahap yang rendah.

Kuasa dari enjin petrol berkenaan dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan baharu AMG Speedshift MCT 9G. Berbeza dengan kotak gear sebelum ini, transmisi baharu ini menggunakan klac start-off (MCT = Multi-Clutch Transmission) bagi menggantikan torque converter konvensional.

Ini membolehkan ia dihasilkan lebih ringan, serta memberikan respon pedal pendikit lebih baik kerana daya inersia yang lebih rendah. Perisian yang mengawal kotak gear ini juga memberikan masa tukaran gear yang sangat pantas serta membolehkan beberapa gear diturunkan dengan laju sekiranya diperlukan. Ia juga diberikan fungsi RACE START, membolehkan pecutan optima diberikan ketika mula memecut dari kedudukan pegun.

Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Gandar belakang C 63 S ini juga direka begitu sofistikated untuk memadankan sistem hibrid E Performance. Secara umumnya, gandar belakang berkenaan digelar sebagai compact electric drive unit (EDU). Dalam unit EDU tersebut, ia bukan sahaja mempunyai motor elektrik 204 hp, malah ia juga diintegrasikan bersama kotak gear dua kelajuan yang berfungsi dengan sistem elektrik, dan juga LSD yang dikawal secara elektronik.

Bateri bervoltan dan berprestasi tinggi (High Performance Battery atau HPB) untuk sistem keseluruhan E Performance ini pula diletakkan betul-betul di atas gandar belakang berkenaan, membentuk satu pakej sistem hibrid kompak.

Dengan rekaan ini, motor elektrik bukan sahaja dapat memberikan boost tambahan 204 PS selama 10 saat ketika diperlukan, malah ia turut dapat berfungsi untuk menghantar kuasa secara mekanikal ke syaf pemacu roda hadapan menerusi syaf kardan, memberikan pacuan semua roda pada setiap masa, walaupun kereta ini bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol.

Walau bagaimanapun, menerusi bateri lithium-ion dengan kapasiti 6.1 kWj, Mercedes-AMG C 63 S E Performance ini mempunyai jarak gerak elektrik penuh hanya 13 km. Bateri berkenaan dihasilkan dengan berat 89 kg, dan mampu untuk memberikan kuasa berterusan 70 kW. Manakala untuk memberikan boost selama 10 saat yang disebut tadi, bateri ini turut mampu membekalkan kuasa berterusan 150 kW.

Binaan bateri berkenaan terdiri dari 560 sel, di mana setiap satu sel tersebut disejukkan secara individu. Keseluruhan modul berkenaan dihubungkan kepada sistem penyejukkan enjin bagi mengekalkan suhu operasi optimum sekitar 45 darjah selsius. Ini membolehkan bateri tersebut memberikan prestasi konsisten ketika mengecas dan mengeluarkan tenaga.

Menurut Mercedes-AMG, keseluruhan sistem kompak termasuk EDU dan HPB ini dihasilkan hanya seberat 250 kg. Ia boleh di cas secara plug-in menerusi pengecas on-board 3.7 kW. Manakala ketika bergerak, ia diberikan empat mod mengecas semula bateri berkenaan, termasuk Tahap 3 yang membolehkan tenaga sebesar 100 kW dipulihkan semula.

Seperti biasa, setiap model Mercedes-AMG datang sekali dengan mod-mod pemanduan di dalam sistem AMG Dynamic Select; untuk C 63 S E Performance ini ia diberikan pilihan mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Race, Slippery dan Individual.

Bagi mod Electric, model ini boleh dipandu tanpa enjin petrol dihidupkan dengan kelajuan maksima 125 km/j, namun seperti yang disebut tadi ia hanya bertahan untuk jarak 13 km dengan satu cas penuh bateri. Manakala untuk mod Battery Hold pula, sistem ini akan memastikan tenaga bateri berada dalam tahap yang malar.

Mercedes-AMG C63S E Performance F1 Edition 2024 kini di Malaysia; RM959k, 680 PS/1,020 Nm, 2.0L PHEV

Beralih kepada mod Sport dan Sport+, ia akan memberikan interaksi berbeza antara enjin dan motor elektrik, di mana pada mod Sport+, boost kuasa elektrik akan dibekalkan sehingga 80%. Pada mod Race pula, sistem hibrid ini akan memastikan kapasiti bateri tidak akan berkurangan sehingga bawah 30%, membolehkan tujahan elektrik sentiasa dapat diberikan 100%.

Untuk mod Slippery, seperti namanya, ia untuk ketika situasi jalan yang licin di mana kuasa akan ‘dijinakkan’ bagi memudahkan kereta ini dikendalikan. Dan bagi mereka yang merasakan satu pun pra tetapan untuk mod yang disediakan tidak sesuai dengan gaya pemanduan masing-masing, anda boleh ‘merojakkan’ sendiri tetapan yang dimahukan menerusi mod Individual.

Pada bahagian luaran, C 63 S AMG ini menerima muka dengan apron lebih agresif menjadikan bahagian muncungnya 50 mm lebih panjang dan fender lebih lebar berbanding C-Class W206 standard, bersama bonet hadapan menampilkan liang untuk aliran udara.

Bampar C 63 S ini pula menampilkan liang udara sisi yang jauh lebih besar bersama tirai udara yang mengalirkan udara ke bahagian-bahagian tertentu. Gril Panamericana model ini turut diberikan dua panel udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang enjin. Selain itu, ia turut dibezakan dengan pemadanan skirt sisi, diffuser belakang bersama perumah tip ekzos berbentuk-trapezoid, dan lid spoiler bersaiz besar dalam kemasan hitam pada penutup but.

Model pasaran Malaysia ini datang dengan set rim aloi ringan 10-jejari 20-inci AMG dalam kemasan hitam matte secara standard. Ia juga diberikan AMG Night Package yang menampilkan serlahan hitam krom pada gril hadapan serta emblem model pada penutup but belakang dan kedua-dua fender hadapan.

Sebagai model istimewa F1 Edition, C 63 S pasaran tempatan ini juga diberikan pelekat badan unik serta diberikan warna badan Manufaktur Alpine Grey Solid serta serlahan jalur merah pada apron hadapan dan belakang dan sisi badan.

Kit standard lain yang dibekalkan termasuk lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panaromik serta suspensi dengan spring logam biasa AMG Ride Control bersama sistem penyerap hentak adaptif. Ia juga diberikan stereng pada gandar belakang bagi membolehkan roda belakang dikemudi dengan sudut sehingga 2.5 darjah pada kelajuan sehingga 100 km/j.

Manakala pada bahagian dalaman, ia menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dengan uphosteri kulit Nappa hitam bersama serlahan jahitan benang merah dan logo AMG yang ditekap pada perehat kepala. Pemandu pula menerima roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan gentian mikro Microcut. Ia turut ditambah dengan elemen-elemen perapi gentian karbon AMG dalam kemasan hitam dan merah, tali pinggang keselamatan merah, kemasan bendul pintu menyala AMG dengan lencana F1 Edition dan karpet lantai F1 Edition.

Untuk infotaimen, C 63 S ini menerima sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menerusi skrin LCD utama 11.9-inci, paparan instrumen digital dengan skrin LCD 12.3-inci bersama fungsi AMG Track Pace. Turut diberikan adalah paparan head-up dan juga sistem bunyi surround Bermester 3D.

Bagi keselamatan pula, sedan prestasi tinggi ini menerima sistem bantuan pemanduan Driving Assistance Package Plus bersama bantuan jarak aktif Distronic, bantuan stereng aktif dan bantuan kekal lorong aktif. Ia juga diberikan Parking Package dengan kamera 360-darjah, bantuan parkir aktif Parktronic dan bantuan parkir memori.

MBM menyatakan ipenghantaran pertama Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition ini kepada pelanggan di Malalysia akan bermula pada Ogos ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required