Hujung minggu lalu pemandu pasukan BRC Hyundai Squarda Corse, Norbert Michelisz berjaya mempertahankan gelaran juara dunia kejohanan TCR World Tour buat kali kedua berturut-turut pada pusingan terakhir siri tersebut untuk musim 2024 di Macau. Mungkin sudah menjangkakan keputusan berkenaan, Hyundai terus memperkenalkan edisi istimewa untuk Elantra N iaitu Elantra N TCR Edition, ‘replika’ untuk jalan raya bagi jentera lumba Elantra N TCR yang dipandu oleh Norbi.
Jadi berbanding Elantra N biasa, model TCR Edition ini diberikan beberapa perincian yang menyerupai kereta lumba sebenar Elantra N TCR. Ia termasuk spoiler GT belakang dengan tiang ‘tengkuk angsa’ bersama sayap boleh laras, rim aloi forged 19-inci dan juga set brek hadapan empat omboh N Performance. Manakala untuk pelanggan di Korea Utara, mereka juga boleh memilih grafik badan TCR Edition yang mirip dengan livery perlumbaan kereta-kereta lumba Hyundai N.
Untuk sebelah dalam, Elantra N TCR Edition ini diberikan perincian istimewa seperti roda stereng balutan Alcantara dengan penanda pukul 12 berwarna Performance Blue, tali pinggang keledar juga berwarna Performance Blue dan juga lencana eksklusif TCR Edition.
Walau bagaimanapun, Hyundai tidak menyebut sebarang peningkatan prestasi mahupun pengendalian Elantra N TCR Edition ini. Oleh itu ia sudah tentu masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm.
Pada pasaran tertentu, Elantra N datang dengan pilihan transmisi sama ada kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan bagi memacu roda hadapan serta diberikan e-LSD secara standard. Namun Hyundai juga tidak memperincikan sama ada pilihan yang sama turut ditawarkan pada TCR Edition ini atau tidak.
Model yang dilengkapi kotak gear DCT turut diberikan fungsi N Grin Shift (NGS) yang memberikan lebih tujahan boost selama 20 saat dengan satu sentuhan butang bagi menghasilkan kuasa maksima 290 PS. Dengan sistem Launch Control, ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j. Manakala untuk model manual, ia diberikan mod rev-match automatik membolehkan gear diturunkan dengan agresif tanpa memerlukan kemahiran heel & toe.
Model istimewa ini akan mula dijual di Korea Selatan bermula Disember ini, manakala untuk pasaran global ia akan mula ditawarkan pada tahun hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.