Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

Kereta lumba dalam kategori TCR yang dikelola oleh FIA adalah antara kereta lumba yang paling kompetitif buat masa sekarang. Dengan satu spesifikasi, ia boleh berlumba dalam kejohanan peringkat nasional, peringkat benua dan sehingga peringkat dunia iaitu World Touring Car Cup (WTCR).

FIA juga mensyaratkan bahawa kereta-kereta lumba TCR ini dijalankan secara program perlumbaan pelanggan, membolehkan ia dijual pada harga yang tidak terlalu mahal dan boleh dibeli oleh pasukan-pasukan persendirian, serta menerima terus bantuan teknikal dari pengeluar rasmi.

Buat masa sekarang, setiap jenama hadir dengan hanya satu jentera TCR, seperti Civic Type R TCR dari Honda, Golf GTI TCR dari Volkswagen, O3 TCR dari Lynk & Co dan banyak lagi pengeluar lain. Tapi tidak Hyundai Motorsport, sebelum ini mereka sudah pun menawarkan dua jentera TCR iaitu i30 N TCR dan Veloster N TCR – terbaharu, jenama Korea berkenaan menawarkan satu lagi pilihan untuk pelanggan iaitu sedan Hyundai Elantra N TCR!

Kereta lumba ini didedahkan hujung minggu lalu di Beijing Motor Show, bersama pendedahan sulung model produksi Hyundai Elantra generasi ketujuh di negara berkenaan. Ia diperkenalkan setelah di uji selama tiga bulan, dalam jarak 5,000 km, dan bakal ditawarkan kepada pelanggan yang berlumba di negara yang memasarkan Elantra standard.

Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

Seperti dua adik beradik hatchbacknya, sedan ini menerima kelengkapan aerodinamik yang merangkumi kit badan lebih lebar bersama sayap GT pada but belakang. Menurut Hyundai, jentera ini dihasilkan oleh divisi perlumbaan pelanggan mereka dengan mengambil kelebihan sepenuhnya model asas yang sememangnya stabil, dihasilkan dari casis berprestasi tinggi.

Dengan memenuhi undang-undang TCR FIA, Hyundai Elantra N TCR ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang diambil dari enjin baharu dalam keluarga enjin kereta produksi jalan raya Hyundai. Manakala untuk transmisi, ia dibekalkan dengan kotak gear manual sequential dengan operasi pedal penukar gear sama seperti pada i30 N TCR dan Veloster N TCR, untuk memacu roda hadapan.

Kereta ini dihasilkan dalam dua pakej iaitu untuk bersaing dalam perlumbaan bercorak sprint dan juga pakej untuk berlumba dalam acara endurance. Kedua-dua versi tersebut telah diuji dan dibangunkan serentak bermula Jun lalu di pelbagai litar sekitar Eropah.

“Kami telah menampilkan banyak kemajuan dalam pembangunan casis dengan ramai pemandu yang berlainan bagi menghasilkan pakej keseluruhan yang kukuh untuk pelanggan bagi membolehkan mereka terus berjaya dengan Hyundai Motorsport Customer Racing dalam persaingan TCR,” kata prinsipal Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

Antara pemandu yang dimaksudkan oleh Adamo adalah pemandu lagenda dalam dunia touring car iaitu Gabriel Tarquini, yang kini berlumba untuk pasukan BRC Hyundai N Lukoil Squadra Corse dalam WTCR.

“Sebagai pemandu Elantra N TCR ini dirasakan sebagai kereta yang baik untuk dipandu, walaupun bermula sejak ujian pertama. Saya mampu untuk melengkapkan banyak pusingan lap dalam ujian kereta, memandu kedua-dua versi sprint dan endurance, yang dibangunkan bersama,” kata Tarquini yang turut terlibat dalam pembangunan i30 N TCR sebelum ini.

“Jelas Elantra N TCR ini adalah lebih besar, tetapi pengendaliannya ketika memandu membuatkan anda tidak terasa perbezaannya. Ini adalah peringkat awal ujian untuk kereta tersebut, jadi masih lagi banyak peluang untuk memperbaiki casis serta menghasilkan pakej lebih kuat untuk pelanggan berlumba,” tambahnya lagi.

Sejak bermulanya kejuaraan WTCR pada 2018 bagi menggantikan WTCC pada musim sebelumnya, Hyundai merupakan antara pengeluar yang paling berjaya dengan menggondol juara dunia dalam kategori pemandu untuk musim 2018 dan 2019. Secara keseluruhan pasukan-pasukan pelanggan Hyundai telah membolot lapan gelaran juara dalam kejuaraan-kejuaraan TCR di seluruh dunia pada tahun 2019.

Buat masa sekarang, untuk model produksi Elantra generasi baharu ini hanya hadir dalam model paling berkuasa N-line dengan enjin 1.6 Turbo berkuasa 201 hp/265 Nm. Dengan pendedahan kereta lumba ini mungkin sebagai petanda bahawa model prestasi penuh Elantra N yang dijana oleh enjin 2.0L turbo akan turut diperkenalkan, sama seperti i30 N dan Veloster N.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required