Hyundai Elantra 2021 – N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

Hyundai Elantra 2021 –  N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

Semasa pendedahan Hyundai Elantra generasi ketujuh di Amerika Syarikat semalam, jenama Korea berkenaan turut menyatakan bahawa selain dari versi biasa dan hibrid, sedan dengan bentuk coupe-empat pintu itu turut akan dihasilkan dalam versi ‘lebih pedas’ kerana asas pembinaannya adalah komited kepada prestasi dan pengendalian.

Setakat ini, Hyundai sudah mengesahkan selepas ini Elantra N-Line bakal diperkenalkan pula. Tiada sebarang perincian didedahkan, namun boleh di agak ia bakal menggantikan Elantra Sport dari generasi sedia ada, dan mungkin akan menggunakan unit penjana yang sama.

Untuk Elantra Sport (pernah dijual di Malaysia dalam versi pre-facelift) generasi sekarang, ia menerima enjin 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), menghasilkan 204 PS/265 Nm. Pada pasaran tempatan, model Sport ini hadir dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, manakala di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat, ia turut ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan bagi berhadapan terus dengan Honda Civic Si.’

Ada juga khabar mengatakan bahawa Elantra 2021 bukan hanya akan tampil dengan model N-Line ini, Hyundai turut sedang merancang pembangunan Elantra dengan lencana penuh N seperti i30 N dan Veloster N. Buat masa sekarang, kedua-dua model ini dijana oleh enjin 2.0L T-GDI yang menghasilkan kuasa sehingga 275 PS/353 Nm yang digandingkan hanya kotak gear manual enam-kelajuan bersama e-LSD.

Hyundai Elantra 2021 –  N-Line 204 PS dan model N berkuasa 275 PS sedang dalam pembangunan?

Selain enjin, Elantra N berkenaan dijangka turut akan diberikan kelengkapan lain yang sama seperti i30 dan Veloster N, antaranya casis lebih tegar, sistem suspensi adaptif dengan larasan sangat keras boleh dibuat, sistem ekzos dengan fungsi pop & bang, dan bermacam lagi.

Ketika diperkenalkan tempoh hari, Elantra 2021 ini terlebih dahulu ditawarkan dalam versi petrol 2.0L dan juga model Hybrid dengan enjin 1.6L dan motor elektrik. Model asas akan dijana enjin 2.0L MPI kitran Atkinson berkuasa 147 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 179 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia akan dipadankan secara standard dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, dakwa Hyundai sendiri.

Manakala untuk Elantra Hybrid, ia dijana oleh enjin petrol lebih kecil, iaitu unit 1.6L GDI kitaran Atkinson, tetapi dibantu dengan motor elektrik magnet kekal berkuasa 43 hp yang menerima tenaga dari bateri pek bateri lithium-ion-polymer 1.32 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Secara keseluruhan, unit gandingan ini menghasilkan kuasa 139 hp dan tork maksima 265 Nm dan kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan. Hyundai menganggarkan penggunaan bahan api gabungan EPA untuk model ini adalah 50 batu segelen atau 4.7 liter untuk setiap 100 km.

GALERI: Hyundai Elantra 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required