Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Selepas mendedahkan sebahagian rupanya dalam teaser tempoh hari, akhirnya Hyundai Elantra generasi ketujuh membuat penampilan sulungnya untuk peringkat global di The Lot Studio, Hollywood Barat, California, Amerika Syarikat. Berbanding model generasi sedia ada, model 2021 ini tampil dengan rupa coupe empat-pintu yang lebih agresif, dihasilkan dengan elemen rekaan signatur “Sensuous Sportiness” Hyundai terkini.

Elantra generasi baharu ini dihasilkan dari platform kompak generasi ketiga Hyundai K3 yang didakwa memberikan titik graviti lebih rendah secara tidak langsung menghasilkan kawalan yang lebih lincah. Dengan dimensi 4,676 mm panjang, 1,826 mm lebar dan 1,415 mm tinggi, bermaksud ia kini 56 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah, membolehkan ia mendapat rekaan badan yang nampak lebih ‘leper’ dan sporty.

Jarak roda pula dihasilkan sejauh 2,720 mm atau 20 mm lebih panjang, membolehkan bahagian dalamannya juga dihasilkan lebih besar dan selesa dari model sebelumnya.

Dengan dimensi asas yang cukup berpotensi, Elantra diberikan garis-garis badan yang cukup mendebarkan – Hyundai sendiri menyifatkannya sebagai kristal geometrik. Muka sedan ini diberikan gril Cascading Hyundai dengan “paten permata parametik” yang kelihatan lebih agresif dari apa yang diberikan pada Sonata dan i20 generasi baharu.

Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Gril berkenaan direka seakan bersepadu terus dengan kedua-dua lampu hadapan yang mengapitnya, yang turut diberikan jalur lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

Pada bahagian sisi, Elantra ini menampilkan rekaan yang jarang-jarang orang buat iaitu garis-garis badan pada pintu berbentuk-Z. Pelbagai set rim baharu turut direka dengan tema Parametric Dynamics, dihasilkan dalam saiz dari 15- hingga 17-inci.

Dengan bumbung yang rendah untuk dihasilkan menyerupai coupe, bahagian belakang Elantra ini secara tidak langsung kelihatan seperti sebuah model fastback. Penutup but belakang kereta ini direka dengan bahagian atas yang ‘terjuih’ dengan rekaan seperti spoiler ekor itik bersaiz besar dengan lampu kombinasi LED yang merentangi keseluruhan bahagian belakang kereta ini diletakkan betul-betul di bawahnya.

Pada bahagian dalaman, bahagian cowl hadapan ‘ditarik’ 50 mm kebelakang bagi menghasilkan rupa coupe untuk sedan ini. Walau bagaimanapun, Hyundai mendakwa ia tidak menjejaskan ruang kabin kerana asas kereta ini sememangnya dihasilkan lebih besar dari sebelumnya.

Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Seperti bahagian luar, kabin Elantra ini juga nampak seperti kapal angkasa. Hyundai menggelar bentangan rekaan dalaman sedan ini sebagai “immersive cocoon”, dihasilkan bagi memberikan pemandu perasaan seperti di dalam kokpit pesawat.

Model tertinggi akan diberikan paparan instrumen digital dan juga skrin infotainmen utama yang dihadapkan lebih kearah pemandu, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci Manakala model lebih rendah, hanya diberikan skrin utama bersaiz lapan-inci. Walau bagaimanapun, kedua-dua sistem ini menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh dihubungkan tanpa wayar – pertama seumpanya dalam saingan segmen-C.

Papan pemuka tersebut digandingkan dengan roda stereng yang turut direka pelik dari kereta lain dengan rekaan yang sukar untuk disifatkan sebagai empat- atau dua-jejari, manakala liang pendingin hawa nipis direka merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan seperti model-model terbaharu Audi.

Suasana kabin kereta ini juga agak mewah dengan diberikan lampu suasana LED 64-warna sama seperti yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan termasuk sistem arahan suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, sistem terhubung Hyundai Blue Link, serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara Super 65 pada pintu hadapan dan juga subwoofer yang diletakkan di belakang.

Hyundai Elantra generasi baharu ini merupakan Elantra pertama yang ditawarkan dengan unit janakuasa hibrid petrol-elektrik. Model asas akan dijana enjin 2.0L MPI kitran Atkinson berkuasa 147 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 179 Nm pada takat 4,500 rpm.

Ia akan dipadankan secara standard dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, dakwa Hyundai sendiri. Kotak gear ini IVT berkenaan sebenarnya masih lagi berfungsi sama seperti transmisi CVT, namun rekaan tali sawat yang dihasilkan seperti rantai didakwa akan memberikan penggunaan bahan api 1.2% lebih baik dari biasa.

Kotak gear IVT ini juga memberikan pecutan dan lineariti lebih baik antara input pemandu, manakala karekter penukaran gear pula dibuat bagi memberikan pemandu berasa ia seolah-olah sebuah kotak gear automatik konvensional.

Manakala untuk Elantra Hybrid, ia dijana oleh enjin petrol lebih kecil, iaitu unit 1.6L GDI kitaran Atkinson, tetapi dibantu dengan motor elektrik magnet kekal berkuasa 43 hp yang menerima tenaga dari bateri pek bateri lithium-ion-polymer 1.32 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Secara keseluruhan, unit gandingan ini menghasilkan kuasa 139 hp dan tork maksima 265 Nm dan kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan. Hyundai menganggarkan penggunaan bahan api gabungan EPA untuk model ini adalah 50 batu segelen atau 4.7 liter untuk setiap 100 km.

Untuk sistem mekanikal lain, Elantra generasi baharu ini dibekalkan dengan suspensi yang ditala bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih baik. Versi hibrid akan menerima sistem suspensi bebas dari jenis multilink di bahagian belakang, bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty, dan Hyundai mendakwa rupa kereta ini adalah sepadan dengan karekter pengendaliannnya.

Sistem keselamatan model ini juga agak menyeluruh. Ia menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense sebagai ciri standard yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lororng (LFA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), dan juga kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.

Pembeli juga boleh menambah ciri lain yang ditawarkan seperti Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta (BCA) dengan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang (RCCA), Smart Cruise Control (SCC), Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA), Amaran Selamat Keluar (SEW), dan juga Bantuan Pengelak Kemalangan Parkir Mengundur (PCA) dengan pengesan pejalan kaki dan halangan.

Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

Model generasi baharu ini juga dilengkapi dengan Kunci Digital, yang boleh berfungsi hanya menggunakan aplikasi telefon pintar. Ia menggunakan teknologi NFC dan Bluetooth pada telefon pintar untuk mengunci dan membuka kunci Elantra ini, dan ia dapat dikongsi dengan mudah bersama rakan dan keluarga.

Sistem Kunci Digital ini turut membolehkan pemilik menetapkan sendiri berberapa fungsi kenderaan seperti durasi penggunaan kereta. Walau bagaimanapun, setakat ini fungsi Kunci Digital berkenaan hanya boleh digunakan pada sistem Android.

Produksi Hyundai Elantra 2021 ini hanya akan bermula di Ulsan, Korea dan Montgomery, Alabama, pada September nanti. Manakala jualannya pula akan bermula pada suku keempat tahun ini. Di Australia, Elantra akan dijual sebagai i30 Sedan, manakala di Korea ia kekal dikenali sebagai Avante.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required