Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

Semalam tersebar gambar luaran Hyundai i20 generasi ketiga yang akan membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show bulan hadapan, namun tidak lama selepas itu, Hyundai sendiri telah mendedahkan gambar rasmi beserta berberapa spesifikasi yang telah disahkan, termasuk pilihan enjin yang akan ditawarkan untuk model ini.

Seperti yang anda boleh lihat, i20 generasi baharu ini nampak lebih garang dari sebelum ini, dan menurut Hyundai ia direka dengan elemen baharu mereka yang digelar “Sensuous Sportiness”. Bayangan sisi badan kereta ini jelas nampak lebih sporty dengan bumbung landai kebelakang bersama garis bahu yang menyerlah dari fender hadapan hingga bawah tiang-C di belakang.

Ini dihasilkan bukan sekadar bermain dengan garisan semata-mata, dimensi i20 ini sememangnya berbeza dengan versi sebelumnya dengan bumbung yang 24 mm lebih rendah, dan juga badan 30 mm lebar serta lima mm lebih panjang.

Muka hatchback ini nampak lebih garang dengan hidung yang direka rendah, dan diberikan gril Cascading baharu, diapit rapat oleh lampu utama yang tajam bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah di dalamnya. Kemasan lampu kabus juga direka bersegi seakan untuk mengaut aliran udara dari hadapan.

Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

i20 ini turut menampilkan rekaan bumbung yang seakan terapung yang diberikan warna hitam, tetapi apa yang menarik bahagian bumbung dan badan dibahagikan menerusi jalur kemasan krom yang diberikan sepanjang bahagian bawah cermin tingkap dan naik keatas pada cermin quarter belakang.

Turut boleh dilihat, penutup pengisi bahan api model ini diletakkan di bawah sisi lampu belakang, seakan rekaan pada Ford Focus. Walaupun roda model produksi ini tidak sebesar yang ditunjuk pada imej lakaran sebelum ini, set rim yang diberikan ini sebenarnya agak besar untuk sebuah hatchback segmen-B, iaitu berdiameter 17-inci.

Bahagian belakang hatchback ini turut menerima rekaan selari dengan mukanya. Lampu belakang direka agresif dengan bentuk bersegi, dan ia kelihatan bersambung dengan kemasan sekeliling cermin belakang, yang direka seakan spoiler serta mempunyai elemen seperti sirip pada sebelah sisi.

Walau bagaimanapun, sekali lagi set gambar ini tidak disertakan sekali dengan imej pada bahagian kabin. Menurut Hyundai dalam pengumuman sebelumnya, papan pemuka hatchback tersebut akan menampilkan bilah melintang yang “mewakili lebar muka hadapan dan liang udara tersorok rapi,” bersama pelbagai teknologi terkini termasuk dua skrin bersaiz 10.25-inci.

Hyundai turut mendedahkan berberapa perincian dalam kereta ini antaranya akan dilengkapi lampu suasana LED, pilihan warna kabin kelabu dan kuning-hijau, ruang lutut penumpang belakang lebih luas, dan kapasiti but belakang yang meningkat 25 liter kepada 351 liter, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem audio Bose dengan lapan-pembesar suara.

Servis terhubung Hyundai Bluelink turut akan dibekalkan kepada hatchback kompak ini. Sistem tersebut akan memaparkan informasi trafik masa-sebenar, harga bahan api, cuaca dan juga informasi tempat parkir. Sistem ini beroperasi dengan arahan suara berasaskan cloud, dan mampu memantau kereta menerusi aplikasi BlueLink pada telefon pintar.

Untuk keselamatan pula, ia dilengkapi dengan cruise control adaptif yang mampu dihubungkan kepada sistem navigasi, pengenal tanda trafik, bantuan kekal ditengah laluan, pemantau titik buta dengan engine braking dan brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, amaran pergerakan ke hadapan, amaran lintasan trafik belakang, bantuan parkir, serta penderia parkir dengan fungsi brek automatik.

Hyundai i20 2021 didedahkan – 1.0L turbo 120 PS, hibrid ringkas 48-V, pilihan 7DCT & 6-kelajuan manual

Untuk menggerakkan kereta ini, Hyundai telah menyediakan pelbagai pilihan janakuasa. Untuk model paling rendah, ia akan dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder NA berkuasa 84 PS, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Untuk model lebih tinggi, i20 kini ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo yang didatangkan dengan dua jenis talaan iaitu 100 PS dan 120 PS. Enjin dalam kedua-dua talaan ini juga boleh dipadankan sistem hibrid ringkas 48-volt yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2 sekitar 3-4%.

Untuk enjin turbo tanpa sistem hibrid, enjin ini digandingkan sama ada dengan kotak gear DCT automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Manakala versi dengan sistem hibrid pula turut akan dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang sama, tetapi untuk manual ia akan menerima transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) baharu bersama mod coasting bagi menjimatkan lagi bahan api.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required