Selepas tiga tahun berada dalam pasaran, model berprestasi tinggi pertama Hyundai N iaitu i30 N kini sudah pun masuk ke fasa facelift. Model yang dikemaskini ini bukan sahaja menerima muka yang disegarkan, malah ia turut menerima berberapa kelengkapan lebih ringan, tambahan kuasa kuda dan juga pilihan kotak gear automatik.

Seperti versi sebelumnya, i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter turbo dengan sistem suntikan terus (T-GDI) dan masih ditawarkan dalam dua opsyen kuasa iaitu standard dan Performance Package. Untuk versi standard, ia masih menjana 250 PS dan tork maksima 353 Nm.

Manakala untuk versi dengan Performance Package, ia kini ditala bagi mendapatkan kuasa 280 PS, atau 5 PS lebih berkuasa dari sebelum ini. Tork yang dibekalkan juga lebih tinggi, kini mencecah 392 Nm di mana angka puncak ini boleh digunakan bermula pada rpm serendah 1,950 hingga 4,600 rpm.

Bagi mereka yang sebelum ini tidak memilih i30 N kerana tiada pilihan kotak gear automatik, kini tiada lagi alasan kerana selain transmisi enam-kelajuan manual, versi facelift ini juga diberikan pilihan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah DCT 8-kelajuan.

Menurut Hyundai kedua-dua jenis talaan kuasa ini membolehkan i30 N facelift mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Namun untuk model dengan Performance Package, ia kini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari sebelumnya – walau bagaimanapun Hyundai tidak memperincikan ini adalah untuk versi manual atau DCT.

Untuk model dengan kotak gear DCT berkenaan, ia hadir dengan tiga mod talaan iaitu N Grin Shift (NGS), N Power Shift (NPS) dan N Track Sense Shift (NTS). Untuk NGS, ia bukan sahaja meningkatkan tahap responsif kotak gear tersebut, ia turut melepaskan kuasa maksima enjin dalam masa 20 saat dengan satu sentuhan butang, dan countdown juga akan dipaparkan.

Untuk NPS pula, ia akan berfungsi apabila pedal pendikit dikerah melebihi 90%. Ia akan mengelakkan sebarang penurunan tork, dan memberikan perasaan ‘ditolak’ ketika gear dinaikkan. Manakala untuk NTS, mod ini akan diaktifkan secara automatik apabila mengesan keadaan jalan yang sesuai untuk pemanduan dinamik, seperti pada litar lumba. Mod ini akan memberikan masa dan penukaran gear yang tepat, seakan pelumba professional.

Mod pemanduan paling hardcore iaitu N Mode, serta perincian pemanduan berprestasi tinggi lain seperti sistem rev-match dan launch control, e-LSD, suspensi adaptif dan lain-lain masih kekal pada i30 N facelift ini. Untuk brek pula, versi dengan Performance Package akan menerima cakera brek 360 mm di hadapan berbanding 345 mm sebelum ini.

Untuk rupa luaran, i30 N ini disegarkan mengikut model asas i30 facelift yang lebih tajam diperkenalkan pada Februari lalu. Ia menerima lampu hadapan dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang berbentuk anak panah, gril utama, serta liang-liang utama pada bampar i30 N ini nampak seiras dengan versi N-Line, namun jalur kemasan perak pada spoiler hadapan diganti dengan jalur berwarna merah.

Manakala di belakang, model facelift ini tampil dengan diffuser yang jauh lebih besar bersama dua tip ekzos yang juga kelihatan seakan semakin membesar. Warna badan Performance Blue, Polar White, Phantom Black dan Engine Red masih dikekalkan, bersama pilihan warna baru Sunset Red dan Shadow Grey.

Model standard i30 N menerima rim aloi 18-inci rekaan baharu dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport. Untuk versi Performance Package pula, ia menerima rim forged aloi 19-inci lima jejari berkembar, yang dihasilkan dengan berat 14.4 kg lebih ringan dari rim aloi 19-inci sebelum ini. Rim ini masih diberikan tayar istimewa Pirelli P-Zero dengan logo N yang dihasilkan spesifik hanya untuknya.

Untuk kabin, secara asasnya ia masih hadir dengan rekaan yang sama seperti sebelum ini, menampilkan tema hitam keseluruhan bersama serlahan kemasan dan jahitan berwarna Performance Blue, dan juga perincian seperti roda stereng N dan juga pedal aloi. Apa yang baharu adalah tali keledarnya yang kini juga diberikan warna Performance Blue.

Jika sebelum ini i30 N hanya menerima tempat duduk lebih sporty N, model facelift ini pula ditawarkan dengan tempat duduk bucket yang digelar N Light Seat. Seperti namanya, tempat duduk yang dibalut dengan kulit premium dan Alcantara ini bukan sahaja lebih kelihatan seperti tempat duduk perlumbaan, malah ianya 2.2 kg lebih ringan dari versi biasa.

Tempat duduk ini juga menerima serlahan benang Performance Blue, perehat kepala bersepadu dengan slot untuk tali keledar perlumbaan, serta logo N yang bernyala.

Hyundai i30 N ini juga turut ditawarkan opsyen dengan skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci, yang hadir dengan sistem navigasi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem terhubung Hyundai Bluelink dari versi terkini.

Sistem keselamatan untuk i30 N facelift ini turut menerima berberapa tingkat taraf dengan diberikan lebih fungsi bantuan pemanduan aktif Hyundai SmartSense. Misalnya sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan kini turut disertakan dengan pengesan pejalan kaki, serta sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA-R) kini ditawarkan sebagai opsyen untuk model dengan kotak gear DCT.

Hyundai i30 N facelift ini akan berada pada pasaran Eropah bermula awal 2021, dan tarikh pelancaran serta harga akan diumumkan kemudian mengikut negara masing-masing.