Hyundai Elantra N-Line didedahkan – 201 hp/265 Nm dari enjin 1.6 liter Turbo CVVD, pilihan 6MT atau 7-DCT

Hyundai Elantra N-Line didedahkan – 201 hp/265 Nm dari enjin 1.6 liter Turbo CVVD, pilihan 6MT atau 7-DCT

Setelah berberapa teaser disiarkan, kini secara rasmi Hyundai mendedahkan Elantra N-Line iaitu versi lebih sporty Elantra generasi baharu yang menggantikan model Elantra Sport pada generasi sebelum ini.

Elantra N-Line ini dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 201 hp dan tork maksima 265 Nm, berbeza dengan model standard yang dijana oleh enjin 2.0L MPI kitran Atkinson berkuasa 147 hp/179 Nm.

Menurut Hyundai, ini bukan enjin yang diambil dari model generasi sebelumnya, tetapi ia adalah enjin baharu lengkap dengan sistem Continuously Variable Valve Duration (CVVD) seperti pada sedan segmen-D Sonata 2020, dan ia mampu beroperasi 5% lebih efisien dari enjin Elantra Sport sebelumnya.

Hyundai Elantra N-Line didedahkan – 201 hp/265 Nm dari enjin 1.6 liter Turbo CVVD, pilihan 6MT atau 7-DCT

Enjin ini digandingkan dengan dua pilihan kotak gear, sama ada transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Pada model standard, Elantra hanya hadir dengan kotak gear CVT automatik pintar yang digelar IVT.

Unit janakuasa berkenaan duduk dengan lebih pegun dalam perut Elantra N-Line ini dengan cagak enjin yang 13.9% lebih keras dari versi standard. Model ini juga menerima talaan suspensi yang lebih keras berbanding model biasa, manakala pada bahagian belakang diberikan suspensi lebih jitu dari jenis multilink bagi menggantikan suspensi jenis torsion beam pada versi standard.

Digandingkan dengan rim-18 inci yang lebih besar, Hyundai menyifatkan Elantra N-Line mempunyai prestasi daya cengkaman yang lebih baik. Hyundai memberikan tayar yang berbeza bergantung pada transmisi Elantra N-Line ini di mana versi DCT dipadankan dengan tayar Continental ProContact RX 235/40R18 manakala model manual pula diberikan tayar Goodyear Eagle F1 235/40R18.

Hyundai Elantra N-Line didedahkan – 201 hp/265 Nm dari enjin 1.6 liter Turbo CVVD, pilihan 6MT atau 7-DCT

Manakala untuk menghentikan model dengan kuasa lebih tinggi ini, Elantra N-Line turut diberikan cakera brek lebih besar berdiameter 12-inci di hadapan, berbanding hanya 11-inci pada model standard.

Model asas Hyundai Elantra generasi baharu ini sudahpun kelihatan sangat garang. Manakala versi N-Line ini diberikan penampilan lebih agresif. Muka model ini menerima bampar hadapan baharu yang hadir gril cascading dengan elemen lebih bersegi serta penambahan liang udara sisi yang dikatakan sebagai “diinspirasikan dari sukan permotoran”.

Pada bahagian sisi, ia nampak lebih labuh menerusi pemadanan skirt. Hyundai turut memberikan cat serlahan khas hitam berkilat Hyundai N pada penutup cermin sisi, kemasan sekeliling tingkap dan juga pada skirt sisi. Manakala di belakang, model ini hadir dengan diffuser pada bawah bampar dan turut menempatkan tip ekzos berkembar.

Hyundai Elantra N-Line didedahkan – 201 hp/265 Nm dari enjin 1.6 liter Turbo CVVD, pilihan 6MT atau 7-DCT

Pada bahagian kabin, Elantra N-Line ini juga menerima perincian yang lebih sporty. Ia hadir dengan pelbagai peralatan Hyundai N seperti roda stereng dan tempat duduk sport balutan kulit bersama serlahan jahitan benang merah, tombol gear dengan kemasan logam dan kulit dan juga set pedal aloi.

Model ini juga tampil dengan kluster instrumen N-Line sama ada digital sepenuhnya atau dari jenis meter analog, namun kedua-duanya diberikan serlahan berwarna merah.

Pemandu turut diberikan sistem pemilih mod pemanduan dan juga pedal penukar gear untuk model transmisi DCT. Menurut Hyundai, kabin model ini menampilkan perician yang ditumpukan kepada pemandu, bagi “memberikan pengalaman memandu diinspirasikan dari perlumbaan”.

Perincian lain seperti pengecas tanpa wayar Qi, kunci digital menggunakan telefon pintar menerusi hubungan NFC dan juga sokongan Apple Carplay serta Android Auto masih dikekalkan pada Elantra N-line ini.

Untuk sistem keselamatan pula, Hyundai Elantra N-Line dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense sebagai ciri standard yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lororng (LFA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), dan juga Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta (BCA) dengan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang (RCCA).

Di Amerika Syarikat, Hyundai Elantra N-Line ini akan berhadapan terus dengan Civic Si berkuasa 205 hp/260 Nm sama seperti Elantra Sport sebelumnya. Untuk pengetahuan anda juga, Elantra Sport pernah di bawa oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) ke Malaysia, dijual dengan harga hampir sama seperti Honda Civic 1.5 Turbo varian tertinggi.

Namun mungkin atas sambutan yang kurang memberangsangkan, varian Sport tersebut telah digugurkan apabila versi facelift Elantra AD dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Jadi, adakah anda berharap agar HSDM membawa Elantra N-Line ini ke pasaran tempatan kelak?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required