Menerusi satu video yang telah disiarkan, Isuzu memberikan bayangan bahawa enjin baharunya yang digelar sebagai MaxForce untuk trak pikap D-Max dan kembarnya SUV ladder frame MU-X bakal diperkenalkan dalam sedikit masa sahaja lagi.
Enjin MaxForce ini diasaskan dari enjin RZ4E 1.9 liter empat-silinder turbodiesel, tetapi lebih ‘berkuasa’ dan lebih ‘laju’ menerusi kapasiti enjin yang lebih besar iaitu 2.2 liter dan juga dipadankan dengan pengecas turbo baharu, menurut laporan Headlight Magazine.
Buat masa sekarang versi paling berkuasa D-Max dan MU-X dijana oleh enjin 4JJ3-TCX 3.0 liter turbodiesel yang menjana 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Sama ada enjin MaxForce baharu ini akan menggantikan sepenuhnya enjin 3.0 liter berkenaan atau ditawarkan bersama-sama masih belum diketahui.
Isuzu Malaysia mula memperkenalkan enjin 1.9 liter turbodiesel menerusi D-Max facelift 2019. Ia menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 3,600 rpm dan tork 350 Nm bermula 1,800 rpm hingga 2,600 rpm, bagi menggantikan pilihan enjin lebih besar 2.5 liter turbodiesel yang hanya menghasilkan kuasa 136 PS/320 Nm sebelum itu.
Buat masa sekarang varian paling rendah Isuzu D-Max iaitu 1.9L 4×4 Single-cab dijual pada harga bermula RM99k, manakala varian paling mahal 3.0L 4×4 AT X-Terrain dijual pada harga RM158k.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.