Selepas banyak gambar tersebar minggu lalu, Lexus ES generasi ketujuh versi facelift kedua akhirnya didedahkan secara rasmi kepada orang ramai semasa Auto Guangzhou di China. Sedan eksekutif Jepun ini menerima beberapa perubahan gaya serta peningkatan teknologi di luar dan dalam, tetapi masih mengekalkan enjin yang sama.
Pada bahagian luar, ia mendapat gril “seamless” seperti RX, yang menunjukkan peralihan daripada warna badan ke bahagian terbuka melalui beberapa kemasan berpetak. Ia kemudiannya diapit lampu yang menerima bahagian dalam baru dengan pencahayaan berbentuk L. Motif sama digunakan pada lampu belakang dan disambungkan dengan jalur menyala di tengah.
Pada bahagian dalam, susun atur di tengah papan pemuka adalah serba baru, memberikan ruang untuk skrin sesentuh 14 inci (sebelum ini 12.3 inci). Sistem infotainmen Lexus Interface yang sudah diperkenalkan sejak tahun 2022 kini diberikan dengan dua tombol untuk mengawal sistem pendingin hawa dan fungsi lain, seperti NX generasi kedua.
Perubahan ini menyebabkan corong udara di bahagian tengah serta separuh bahagian bawah papan pemuka perlu direka semula. Bahagian lain dalam kabin tidak berubah, kecuali tombol gear, yang diberitahu oleh Lexus sebagai lebih memenuhi minat pelanggan muda di China.
Sama seperti sebelum ini, anda masih akan mendapat ciri seperti panel instrumen digital tujuh inci, kemasan kayu hiasan, tempat duduk dibalut kulit semi-aniline dengan kawalan elektrik, fungsi memori dan liang pengudaraan, pemanas tempat duduk belakang, bumbung panoramik, pendingin hawa tiga zon Climate Concierge, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Mark Levinson 17 pembesar suara.
Pakej Lexus Safety System diberikan secara standard, dengan termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go dan pengurangan laju selekoh, Lane Centring Assist, Evasive Steering Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Beg udara ada lebih daripada 10.
Secara mekanikalnya, dua varian yang ditawarkan di China masih menggunakan enjin sama. ES200 digerakkan oleh unit empat silinder NA 2.0 liter bersama padanan transmisi CVT Direct Shift, menghasilkan kuasa 173 PS pada 6,600 rpm dan tork 206 Nm dari 4,600 ke 5,500 rpm.
Sementara itu, ES300h pula menerima enjin empat silinder 2.5 liter dengan kuasa 178 PS pada 5,700 rpm dan tork 221 Nm dari 3,600 ke 5,200 rpm. Ia dipadankan bersama motor elektrik 120 PS/202 Nm, serta transmisi eCVT untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.