Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Aprilia Tuareg 660 sudah mencipta nama dalam perlumbaan rali motosikal seperti Africa Eco Race dan Italian Motorally Championship. Kini, Aprilia mahu memberi manfaat kepada pengguna, melalui pengalaman yang mereka timba dalam dunia perlumbaan dengan memperkenalkan pula Tuareg Rally.
Secara ringkasnya, ini adalah Tuareg dalam versi lebih lasak, dengan antara kelengkapan barunya adalah seperti skid plate aluminium bentuk baru dan lebih tebal, pelindung tangan lebih tegap dengan rangka besi serta pelindung rantai lebih lasak.
Kemudiannya untuk membantu kedudukan menunggang model yang dikatakan hampir seperti model lumba rally-raid sebenar ini, ia dipasang dengan tempat duduk 20 mm lebih tinggi serta pemegang yang bukan sahaja lebih tinggi, tetapi juga menggunakan bentuk berbeza.
Rim, yang terdiri daripada unit 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dinaik taraf dengan unit spoked daripada Ergal yang lebih lasak dan menggunakan tiub di dalam. Suspensi Kayaba yang sama masih dikekalkan pada Tuareg Rally ini, tetapi springnya ditukar dengan jenis yang mempunyai keupayaan anjal lebih linear, berbanding progresif. Menurut Aprilia, meskipun kualiti tunggangan menjadi lebih keras, ia membantu rasa menunggang di atas jalan offroad dan memberikan kawalan lebih baik kepada penunggang.
Sebagai pelengkap, Tuareg Rally ini dipasang dengan sistem ekzos SC Project dengan tabung titanium yang lebih agresif serta skema warna replika perlumbaan rali, dengan fork, rim dan pemegang yang berwarna emas. Akhir sekali, tongkatnya dipasang dengan tapak yang lebih lebar.
Bersama dengan Tuareg Rally ini, Aprilia turut mengumumkan peningkatan yang dibuat pada Tuareg 2025, di mana enjin dua silinder selari DOHC 659 cc padanya menerima throttle body 52 mm, berbanding 48 mm sebelum ini. Tiada sebarang peningkatan kuasa yang diberitahu, tetapi sebelum ini, Tuareg mampu menghasilkan 80 hp pada 9,250 rpm dan 70 Nm tork pada 6,500 rpm.
Daripada aspek penampilan, hanya sedikit perubahan dibuat pada bahagian panel lampu hadapan, menjadikannya nampak lebih kemas, sementara warna baru yang ditawarkan adalah Tornado Green dan Hailstorm White.
Kelengkapan lain yang disediakan pada Tuareg 660 adalah termasuk skrin TFT-LCD 5.0 inci, sistem elektronik yang termasuk ABS, kawalan cengkaman, cruise control serta empat mod tunggangan, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan dan tangki bahan api berkapasiti 18 liter.
GALERI: Aprilia Tuareg Rally 2025
GALERI: Aprilia Tuareg 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.