Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim memaklumkan pembinaan di tapak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) hanya dijangka bermula pada 2027 iaitu setelah syarikat tersebut
menyelesaikan proses pemerolehan tanah, laporan Bernama.
Katanya lagi, ketika ini proses berkenaan sedang berjalan dengan pemeriksaan awam akan dilaksanakan hingga 2 Disember 2024. Selepas daripada itu baru pihaknya boleh memuktamadkan laluan dan memulakan proses pemerolehan tanah yang dijangka mengambil masa 24 bulan iaitu hingga tahun 2026.
“Kami (MRT Corp) berharap menjelang 2027, kerajaan akan mempunyai cukup kapasiti untuk meneruskan projek ini. Itu sasaran peribadi saya tetapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi. Seperti yang kita tahu ekonomi semakin pulih, jadi beri masa beberapa tahun lagi dan saya rasa ia akan jadi landasan kukuh untuk kita memulakannya,” katanya.
Pada Mac tahun lalu, kerajaan memaklumkan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai cadangan pelaksanaan projek MRT3 yang dianggarkan dengan kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur.
Pada Mac 2022, peta rasmi MRT3 yang didedahkan menunjukkan terdapat 31 stesen termasuk hab utama di Titiwangsa, tetapi tidak termasuk dua stesen pinggiran yang turut disenaraikan (Salak Jaya dan Bukit Kiara).
Bermula dari Titiwangsa di KL dan menuju arah Setapak, stesen yang terlibat termasuklah Kampung Puah, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, Rejang, Setiawangsa, AU2, Taman Hillview, Tasik Ampang, Kampung Pandan, Pandan Indah dan Taman Kencana. Jalur dengan stesen lain termasuklah di sekitar Cheras, melibatkan Taman Cheras (a.k.a. Yulek), Taman Midah, Jalan Yaacob Latif dan Sri Permaisuri.
Laluan kemudiannya menuju ke Salak Selatan, Salak Jaya, Kuchai dan Jalan Klang Lama. Ia kemudiannya masuk ke kawasan Lembah Pantai, melibatkan stesen Pantai Dalam, Pantai Permai, Universiti dan UM. Laluan terakhir pula melibatkan Bukit Kiara South, Bukit Kiara, Sri Hartamas dan Mont Kiara sebelum menuju ke Bukit Segambut, Taman Sri Sinar (berdekatan Kepong), Dutamas dan Jalan Kuching sebeluk kembali semula ke Titiwangsa.
Kitaran Jajaran MRT3 melibatkan jarak 50.8 km panjang, dengan 10.7 km daripadanya akan melibatkan laluan bawah tanah. Berdasarkan peta rasmi ini, seksyen laluan bawah tanah adalah dari Rejang ke Setiawangsa, Universiti ke Bukit Kiara Selatan (stesen UM di bawah tanah) dan dari Sri Hartamas hingga berdekatan stesen Jalan Kuching. Hampir semua jajaran ini (39 km) berada di KL manakala bakinya di Selangor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.