Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors telah mengumumkan mula mengambil tempahan bagi SUV Kia Sportage 2025. Selepas penantian yang agak lama untuk model ini, ia bakal ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah.
Bakal dilancarkan secara rasmi ketika acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) Disember nanti, Malaysia akan menerima Sportage generasi kelima (NQ5) dalam versi sebelum facelift terbarunya, yang diperkenalkan pada Jun 2021. Kenapa? Menurut Dinamikjaya, model facelift terbaru yang diperkenalkan bulan ini hanya telah dilancarkan secara eksklusif untuk Korea Selatan sahaja ketika ini.
“Kami menjangkakan pengenalan model facelift terbaru itu akan dilakukan dalam tempoh dua tahun lagi. Selain itu, kenaikan harga juga mungkin akan berlaku untuk model terkini berkenaan, bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi untuk pasaran lain juga,” jelas syarikat itu. Pasaran Thailand dan Indonesia juga belum menerima Sportage NQ5 ini.
Dari segi spesifikasi, Sportage akan ditawarkan dalam dua versi enjin petrol untuk Malaysia. Yang pertama ialah unit 2.0 liter NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 hp dan 192 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Yang kedua ialah unit 1.6 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 177 hp dan 265 Nm serta diganding bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Belum ada perincian tentang berapa varian yang akan ditawarkan, dan sama ada 2WD atau AWD.
Untuk kelengkapan, Sportage terbaru ini akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA; AEB), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan banyak lagi.
Lain-lain ciri termasuklah kluster instrumen digital 12-.3-inci serta sistem infotainmen yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Varian lebih tinggi juga akan dilengkapi dengan ciri keselesaan lain seperti lampu ambient, kawalan pendingin dua zon dan sistem bunyi Harman Kardon.
Belum ada perincian harga diberikan setakat ini. Seperti juga Sorento CKD, Sportage ini akan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis. Sportage akan bersaing dalam segmen yang sama dengan Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, dan beberapa lagi model pengeluar China.
Kia Sportage X-line 4WD 2024 di Taiwan
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.