Kia Sportage generasi kelima sudah wujud sejak tahun 2021, dan sebelum ini ia pernah dilaporkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2022. Walaubagaimanapun, sekarang sudah masuk tahun 2024 dan kelibatnya pesaing SUV segmen C seperti Honda CR-V ini masih tidak kelihatan.
Ini bagaimanapun bakal berubah kerana dalam satu wawancara bersama The Edge, CEO kumpulan Bermaz, Datuk Francis Lee Kok Chuan bukan sahaja mengesahkan ketibaannya, tetapi juga menyatakan bahawa model tersebut akan menjadi antara penyumbang jualan utama dengan sasaran jualan 4,000 ke 5,000 unit setahun. Model ini akan dipasang dalam negara (CKD), iaitu di kilang Inokom di Kulim, Kedah, sama seperti Sorento dan juga Carnival.
Jika sasaran jualan itu nampak seperti satu jumlah yang agak tinggi bagi sebuah model Kia, ini sebenarnya adalah disebabkan Kia akan diletakkan sebagai penyumbang utama Bermaz, menggantikan Mazda sekarang ini. Walaupun begitu menurut Lee, Mazda akan dinaikkan satu kelas ke atas untuk Malaysia, bersesuaian dengan model generasi baru yang akan diperkenalkan dalam masa dua hingga tiga tahun hadapan.
“Pejabat Kia Asia Pasifik berada di KL dan mereka mahu projek ASEAN menjadi kerana mereka sudah pun berada di tahap bagus di tempat lain, kecuali ASEAN dan China. Jadi, sekarang, mereka meletakkan banyak perhatian kepada pasaran ASEAN,” kata Lee.
“Sportage terjual agak bagus di seluruh dunia; malah, mereka tidak mempunyai model import (CBU) untuk kami bawa masuk,” tambah CEO Bermaz itu sambil mendedahkan bahawa syarikat akan memasarkan varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dahulu sebelum memperkenalkan versi hibrid.
Di Eropah, Sportage baru ini dilancarkan dengan pilihan dua enjin ICE (petrol 1.6L turbo dan diesel turbo 2.0L), serta hibrid dan plug-in hybrid. Penampilannya lebih moden, mengikut konsep rekaan terkini ‘Opposites United’ jenama itu.
GALERI: Kia Sportage Hybrid 2021 (Pasaran Korea)
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.