Ogos lalu Proton telah mengesahkan bahawa ia kini sudahpun mula membangunkan model baharu Proton Saga bagi menggantikan model sedia. Menurut Proton, Saga baharu tersebut masih akan diasaskan dari platform sedia ada dan pembangunan awalnya telah dimulakan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Proton di Teluk Hangzhou, China tetapi masih diketuai oleh jurutera R&D dari Malaysia.
Hari ini ada satu gambar misteri telah tersebar di internet yang mendakwa bahawa ia adalah Saga generasi baharu tersebut. Ia dimuat naik di paultan.org Automotive/Car Facebook group, namun tiada maklumat dari mana gambar ini bocor, dan tak dapat dipastikan sama ada ia adalah gambar sebenar atau lakaran digital.
Namun apa yang membuatkan imej ini nampak real adalah bentuk badan kereta itu sendiri di mana bahagian but belakang yang pendek dan badan yang tinggi agak menyerupai Saga sedia ada. Apa yang berlainan adalah bahagian pintu belakangnya menampilkan garis pada cermin suku lebih ternaik ke atas, dan ia menerima lampu belakang yang direka nipis seperti abangnya iaitu Proton S70.
Skrip ‘Proton’ kelihatan pada bar yang merentangi penutup but bagi menghubungkan lampu kiri dan kanan, manakala skrip ‘Saga’ pula dilekat pada bahagian bawah kanan penutup but berkenaan. Bampar belakang pula kelihatan hampir sama dengan model sedia ada yang menampilkan reflektor merah diletakkan ‘berdiri’ pada sisi kiri dan kanan, dengan diffuser diberikan rekaan dua tip ekzos palsu, tetapi kali ini diberikan kemasan krom.
Saga ini nampaknya dipadankan dengan rim aloi dua tona pelbagai jejari. Dan satu lagi perincian yang membuatkan ia mungkin petunjuk bahawa ini adalah gambar sebenar adalah kedudukan lubang pengisi bahan api yang terletak pada bahagian kiri.
Model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton lazimnya mempunyai lubang pengisi bahan api pada sebelah kanan, manakala model-model yang disadur dari Geely menampilkan lubang pada sebelah kiri. Seperti yang diketahui pembangunan awalan Saga baharu ini dibuat di China, mungkin ia juga akan mula menampilkan lubang pengisi petrol pada sebelah kiri?
Sehingga kini Proton secara rasmi masih belum mengumumkan bila Saga baharu ini akan membuat kemunculan sulung, namun ada bayangan bahawa ia mungkin akan diperkenalkan pada 2026. Ini kerana sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan model Saga sedia ada akan dihentikan pengeluarannya di Shah Alam pada 2025, dan ia akan berpindah sepenuhnya ke Tanjong Malim pada 2026 – bermakna kilang baharu berkenaan akan disediakan untuk produksi model baharu ini.
Apa pendapat anda? Adakah ini gambar Saga baharu sebenar yang bocor di internet, atau ia adalah imej buatan digital? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau laman-laman sosial kami.
Kemaskini: Kami sudahpun menjumpai sumber gambar ini menerusi video di bawah, dan ia sebenarnya dihasilkan oleh janaan AI
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.