Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

Selepas beberapa bulan spyshot dan teaser bagi Proton Saga MC2 facelift 2022 berlegar-legar di Internet, pagi ini, ia telah pun dilancarkan secara rasminya. Kali ini ia didatangkan dengan empat varian iaitu 1.3 Standard MT, 1.3 Standard AT, 1.3 Premium AT dan model spesifikasi penuh 1.3 Premium S AT.

Ia ditawarkan pada harga RM34,400 untuk 1.3 Standard MT dan 1.3 Standard AT pula berharga RM38,300. Manakala 1.3 Premium AT berharga RM41,300 dan RM44,300 bagi 1.3 Premium S AT. Kesemuanya adalah harga atas jalan (bagi Semenanjung Malaysia & tanpa insurans) dan masih disertakan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022.

Untuk pengetahuan anda, MC2 membawa maksud Minor Change 2, jadi perubahan yang dilakukan terhadap Saga 2022 tidaklah begitu ketara, cuma melibatkan beberapa peningkatan ciri dalaman dan luaran.

Ini bermakna, perubahan yang dilakukan tidak melibatkan bahagian mekanikal. Saga 2022 masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.3 liter empat-silinder NA DOHC VVT dengan kuasa 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm.

Menggunakan pacuan roda-hadapan, ia turut diberikan pilihan transmisi sama ada manual lima-kelajuan (bagi varian 1.3 Standard MT) ataupun automatik empat-kelajuan (sama seperti sebelum ini). Bagi transmisi automatik empat-kelajuan itu, ia sebenarnya adalah satu perubahan yang diperkenalkan pada Saga MC1 tahun 2019 dahulu, bagi menggantikan kotak gear CVT.

Seperti mana yang disebut di perenggan awal, perubahan yang dilakukan cuma minimal, barisan Saga 2022 terus dipadankan dengan bampar dan pencahayaan yang sama, masih kekal dengan unit halogen dan tidak diberikan peningkatan kepada lampu utama LED.

Namun ada sedikit pembaharuan yang dilakukan pada wajah Saga 2022 ini, di mana bahagian gril paten ‘Infinite Weave’ telah pun mengenakan lencana bulat Proton yang baharu, yang pertama kali ditampilkan tahun lalu pada Iriz dan Persona facelift.

Selain itu, bagi varian Premium S, jalur Ethereal Bow pada gril juga diberi kemasan merah berbanding krom, sama seperti pada X50. Manakala varian Standard dan Premium kekal dengan kemasan perak seperti sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Premium S juga menjadi varian tunggal yang menerima skirt sisi yang lebih tebal dan menonjol serta skirt bagi bampar hadapan turut dipadankan bagi memberikan keseimbangan. Model spesifikasi tertinggi ini juga diberikan ruang plat nombor hitam dengan perkataan Proton, manakala varian lain dengan warna yang sama dengan badan. Ciri baharu untuk luaran termasuk perumah cermin sisi dengan warna hitam.

Bagi rim pula, ia turut diberikan unit baharu untuk varian Premium dan Premium S dengan rim aloi ’empat-cabang’ rona perak (dua-tona untuk Premium S, tona tunggal bagi Premium) bersaiz 15-inci, sementara varian Standard akan terus menggunakan unit keluli 14-inci.

Kedua-dua saiz rim ini dibaluti tayar Atlas AS380 – 175/65 untuk 14-inci dan 185/55 bagi 15-inci. Kalau nak tahu, Atlas adalah tayar keluaran China dan ia dipilih kerana dikatakan memiliki cengkaman yang dipertingkatkan serta mampu mengurangkan bunyi bising geseran jalan.

Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

Menjengah bahagian kabinnya, perubahan minimal juga dilakukan. Kali ini Saga menerima konsol tengah yang direka semula, hadir dengan perincian merah termasuk bahagian tengah corong pendingin hawa. Jalur krom kecil yang memisahkan butang stereng juga dalam warna merah.

Malah ruang yang lebih besar juga diberikan antara USB port dan soket 12V, bolehlah diletakkan telefon bimbit. Selain itu, panel kawalan pendingin hawa juga diberikan sentuhan baharu, dengan dua tombol ala Iriz/Persona dan dua butang di tengahnya. Pendingin hawa juga diberikan penapis kabin N95 seperti model baharu Proton yang lain.

Stereng tiga-jejari dalam gaya yang sama dengan Exora juga diberi rekaan baharu bagi lencana beg udaranya, sama seperti Iriz dan Persona. Gelung pada kluster instrumen pula kini dalam warna merah berbanding perak sebelum ini.

Untuk Premium S, ia turut menerima sistem infotainmen baharu. Masih kekal dengan skrin sesentuh 7.0-inci dengan kamera undur, ia diberikan sistem operasi (OS) baharu dengan grafik baharu, termasuk butang ‘home’ dengan logo Proton seperti X50 serta grafik penutup “please check your belongings” seperti yang dapat dilihat pada model Perodua.

Untuk integrasi telefon pintar, ia menyokong Android dan iOS, kedua-dua menerusi screen mirroring, dan bukannya Android Auto atau Apple CarPlay.

Sistem skrin sesentuh Premium masih dikekalkan, dengan ketersambungan Android sahaja. Kedua-dua varian tertinggi turut diberikan empat pembesar suara dan hanya dua unit untuk varian Standard.

Bagi Premium S, ia turut diberikan perincian merah keliling tombol pada panel meter. Pendekatan ini juga pernah digunakan untuk Saga Edisi Ulangtahun pada 2020, yang datang dengan kemasan kuning pada bahagian corong pendingin hawa dan tengahnya.

Varian tertinggi ini juga menerima stereng balutan kulit sintetik (bukan urethane), tempat duduk balutan separa kulit sintetik (bukan lagi fabrik) dengan jahitan merah. Semua ciri sentuhan merah tersebut ditukar ke warna perak untuk varian Premium dan hitam bagi Standard. Kedua-dua varian tersebut juga menerima tempat duduk balutan fabrik sepenuhnya.

Ciri baharu lain yang diberikan untuk Premium S adalah termasuk kemasan dalaman dengan warna hitam, lampu dalam malap sendiri, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat automatik dan pembuka but dari luar.

Bagi aspek keselamatan, semua varian menerima ciri standard merangkumi dua beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek (BA), cagak Isofik untuk tempat duduk belakang dan sistem Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) juga telah dikembangkan kepada varian Standard AT (Standard MT masih tidak mempunyai ESC), selain Traction Control dan Hill Hold Assist (sebelum ini hanya boleh didapati pada varian 1.3 Premium AT).

Manakala kamera undur dan penderia parkir hadapan diberikan untuk dua varian tertinggi. Walau bagaimana pun, Autonomous Emergency Braking masih belum diberikan untuk Saga 2022.

Tiada perubahan pada pilihan warna, ia masih dikekalkan dengan variasi Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. Namun varian Standard boleh dipilih dengan semua warna tersebut kecuali Ruby Red.

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required