Proton Saga MC2 facelift 2022 – teaser kit badan disiar

Proton Saga MC2 facelift 2022 – teaser kit badan disiar

Satu lagi teaser rasmi Proton Saga MC2 facelift 2022 yang akan dilancarkan 12 Mei dikeluarkan hari ini. Semalam, Proton menunjukkan gril hadapan baru Saga facelift ini, (logo bulat, jalur merah seperti X50), serta gambar dekat rim “empat cabang” baru. Hari ini, kita boleh melihat pula gambar dari tepi.

“Bersedia untuk alami tahap keseronokan baru dengan Proton Saga baru. Usul Pintar ini bersedia untuk memberikan impak besar dengan pengendalian terbaik dalam kelasnya, memberikan anda lebih daripada cuma sebuah kereta baru – ia adalah satu pengalaman,” tertulis dalam kenyataan gambar tersebut. Tajuknya pula adalah “manoeuvrability at its finest.”

Tulisan tersebut merujuk kepada pengendalian Saga, tetapi apa yang lebih menarik (kerana ia baru) adalah penampilan kit badan baru, terutamanya bahagian skirt tepi. Seperti yang anda boleh lihat, ia mempunyai bentuk lebih tebal dan menonjol, dan disertai oleh skirting pada bampar hadapan untuk memberikan keseimbangan. Tambahan skirting ini bagaimanapun adalah eksklusif untuk varian tinggi yang dipanggil sebagai Premium S.

Teaser kali ini juga menunjukkan rim 15 inci dua tonanya berpusing. Rim baru ini akan digunakan pada varian Premium dan Premium S, sementara varian Standard akan terus menggunakan unit 14 inci. Perubahan lain pada bahagian luar adalah termasuk pelindung cermin sisi berwarna hitam serta hiasan hitam pada tempat nombor plet yang turut tertulis Proton.

Melalui spyshot yang tersebar sebelum ini, kita dapat melihat bahagian dalam Saga 2022 yang mempunyai banyak kemasan warna merah termasuk pada keliling corong pendingin hawa serta pada butang kawalan di stereng. Kedudukan tempat meletak barang di konsol tengah telah disusun semula, dan terdapat panel kawalan pendingin hawa yang nampak seperti unit daripada Iriz 2022, tetapi tanpa pelaras aliran angin dan butang jenis piano. Logo baru Proton turut digunakan pada stereng.

Skrin infotainmen sesentuh 7.0 inci (Premium ke atas) pada Saga baru ini mendapat kemasan keliling warna hitam, grafik baru (termasuk butang home dengan logo Proton seperti X50) serta grafik penutup “please check your belongings” seperti yang dapat dilihat pada model Perodua. Sistem operasinya (OS) nampak seperti berasaskan Android sama seperti sebelum ini, dan bukannya menggunakan Atlas OS seperti Iriz/Persona.

Ciri baru yang diberikan adalah termasuk sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat automatik, pembuka but dari luar serta balutan kulit. Pemberian sistem kawalan stabiliti elektronik juga telah dikembangkan kepada varian Standard AT (Standard MT masih tidak mempunyai ESC), sementara Autonomous Emergency Braking masih belum ada.

Tiada perubahan dijangka pada bahagian enjin, dan Saga baru ini mungkin akan terus menggunakan unit empat silinder 1.3 liter NA berkuasa 95 PS dan 120 Nm tork. Selain transmisi manual lima kelajuan pada varian asas, enjin Campro VVT ini dipadankan bersama unit automatik empat kelajuan daripada Hyundai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required