Untuk menyelami dengan lebih dalam berkaitan penambahbaikan yang telah dilakukan terhadap Proton Iriz dan Persona facelift 2022, eksekutif program kenderaan terbabit, Adzrai Aziz bin Ibrahim yang bertanggungjawab memerhatikan keseluruhan projek itu berkongsi perincian lanjut. Di sini, kita akan mendekati perubahan yang telah dilakukan terhadap continuously variable transmission (CVT) Punch yang digunakan pada dua model berkenaan.

Walaupun awalnya ada khabar angin bahawa Proton akan beralih kepada kotak gear 4AT Hyundai seperti yang digunakan pada Saga untuk dua model tersebut, itu tidak menjadi kenyataan, kerana Iriz/Persona kekal dengan CVT. Namun, Proton telah melakukan beberapa perubahan sejak 2014 untuk menjadikan CVT ini lebih baik, berikutan rungutan pengguna dan masalah lain melibatkan kotak gear itu.

Kali terakhir Iriz dan Persona menerima kemaskini CVT adalah pada 2019 sebagai sebahagian daripada usaha facelift yang pertama, yang disasarkan untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dan boleh diharap. Penambahbaikan yang dilakukan termasuk pam minyak dan unit hidraulik yang direka semula, oil seal dan bearing baru, pinion gear yang dioptimumkan untuk mengurangkan bising serta perumah transmisi yang dibaiki (untuk mengurangkan kebocoran) serta penghasilan komponen dalaman lain.

Menurut Adzrai, perubahan ini berkesan, dan berjaya mengurangkan jumlah tuntutan jaminan dengan ketara. “Boleh dilihat sejak pelancarannya hingga hari ini, kami dapat menurunkan tuntutan jaminan sebanyak 80%,” jelas beliau.

Bagi model tahun 2022 yang terbaru, Proton memberi tumpuan kepada perisian CVT berkenaan, menambah beberapa fungsi baru untuk memperbaiki prestasi dan melancarkan lagi transmisi berkenaan. Paling penting adalah memperkenalkan kembali ciri nisbah berperingkat SAT (stepped automatic transmission), yang membuang butang khususnya dan kini akan diaktifkan secara automatik sebaik saja pedal minyak ditekan melepasi had tertentu.

Untuk itu, CVT ini mampu menyerupai rasa yang mirip kotak gear automatik, misalnya mampu mengekalkan nisbah tertentu sebelum naik gear yang lebih tinggi. Proton menjelaskan fungsi baru ini memperbaiki serta mengurangkan kebisingan ketika memecut, serta melancarkan lagi proses itu.

Neutral Idle Control (NIC) juga kini ditambah, bertindak melepaskan klac ketika dalam keadaan pegun (ketika masih dalam gear D atau S) untuk mengurangkan kelajuan idle, menghapuskan kejutan ketika menukar gear dari P dan mengurangkan gegaran. Adzrai memaklumkan yang ciri baru ini datangnya dari model-model pesaing, dengan pasukannya telah menguji model baru Proton itu secara langsung dengan Toyota Vios dan Honda City.

Dan yang terakhir, mod Eco yang sesungguhnya (terpisah daripada petunjuk Eco Driving Assist, yang akan menyala bila anda memandu secara cekap), yang memansuhkan SAT dan melepaskan klac tanpa kendali pendikit (off-throttle) pada kelajuan bawah 70 km/j. Ini membolehkan kereta ini melayar. Proton mendakwa pengurangan penggunaan minyak sebenar adalah antara tujuh hingga 10 peratus berdasarkan ujian dalaman yang dilakukan.

Seperti dilaporkan sebelum ini, penambahbaikan tersebut — berserta ECU yang ditala semula — membolehkan Iriz untuk memberikan bacaan penggunaan minyak mengikut penderakan NEDC pada kadar 6.7 liter per 100 km, sementara bagi varian Active (yang lebih tinggi dan rim lebih besar) memberikan 7.0 liter per 100 km. Ini melibatkan pengurangan masing-masing sebanyak 12% dan 7% berbanding model facelift 2019 yang mencatatkan 7.5 liter per 100 km.

Kemaskini juga mengurangkan gegaran ketika pegun, yang mencatatkan bacaan 0.041 g di stereng dan 0.029 g di lantai Iriz (0.038 g kedua-duanya bagi Persona) — pengurangan daripada 0.05 g yang diukur pada model 2019. Kadar buzz, squeak and rattle (BSR) bagi kedua-dua Iriz dan Persona juga semakin meningkat daripada 5 kepada 6.5, mencadangkan kabin yang lebih senyap kini.

Proton Iriz Active 1.6L 2022

Proton Persona 1.6L Premium CVT