Ketika Honda City generasi kelima dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu, memang sudah diumumkan bahawa varian hibrid paling tingginya ialah RS e:HEV. Namun, tidak seperti empat varian lain yang diperkenalkan lengkap dengan harga (S — RM74,191.27, E — RM81,664.82 dan V — RM86,561.45), varian RS e:HEV ketika itu belum diumumkan harganya.

Honda Malaysia menjangka akan berbuat demikian pada Januari 2021. Perkara tersebut bagaimanapun tertunda lagi akibat PKP 2.0, dan akhirnya kini harga dengan kelulusan Kementerian Kewangan untuk varian berkenaan telah diketahui, sekali gus membolehkan varian berkenaan mula dijual kini pada harga RM105,950.45; termasuk pengecualian cukai SST hingga 30 Jun 2021.

Penampilan luarannya menampilkan gril hitam berkilat, bahagian bawah gril depan eksklusif, bampar belakang dengan diffuser, spoiler belakang hitam berkilat serta perumah cermin sisi hitam berkilat — semua ini untuk memberikan imej sporty dua-tona bagi warna badannya. Melengkapkan lagi sisi wajah dinamiknya ialah lampu utama LED baru dengan DRL LED, lampu kabus LED dengan kemasan, lampu belakang LED serta rim aloi 16-inci dua-tona.

Sistem hibrid i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS (pada 5,600-6,400 rpm) dengan 127Nm tork (pada 4,500-5,000 rpm) yang digandingkan dua motor elektrik (menjana 109 PS (dari 3,500-8,000 rpm) dan 253 Nm (dari 0-3,000 rpm). Untuk ini, versi RS mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat dengan laju maksimum 173 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 3.77 L/100 km. Transmisi pula menggunakan e-CVT.

Selain itu, terbaru seperti diumumkan semalam, varian tertinggi City ini juga akan dilengkapi dengan Honda CONNECT, sebuah sistem telematik pintar yang membolehkan pengguna berhubung dengan kenderaan mereka menerusi aplikasi telefon bimbit. Fungsi utama yang terlibat meliputi diagnostik kenderaan, aplikasi kawalan jauh, aplikasi keselamatan, pengesanan kenderaan dan servis sokongan — semuanya bertujuan memudahkan para pemilik untuk mengakses kenderaan mereka.

City terbaru ini memiliki 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,467 mm tinggi. Ini menjadikannya 111 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 10 mm lebih rendah berbanding versi yang lama.

Paling penting, varian RS e:HEV ini turut dilengkapi dengan Honda Sensing; Malaysia jadi pasaran pertama yang menerima sistem itu untuk model City. Honda Sensing ini terdiri daripada fungsi-fungsi seperti:

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Keeping Assist System (LKAS)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High-Beam (AHB)

Lain-lain kelengkapan termasuk Honda LaneWatch yang merupakan teknologi kamera keselamatan maju yang akan membantu meninjau titik buta menerusi sistem infotainmen. Ciri Remote Engine Start juga menjadi yang pertama ditawarkan bagi segmen ini — membolehkan enjin dihidupkan dari jauh dan pendingin hawa berfungsi untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu. Varian ini juga datang dengan ciri Brek Parkir Elektrik (EPB).

Honda City RS e:HEV didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik; Passion Red Pearl, Modern Steel Metallic dan Platinum White Pearl.