Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

Diperkenalkan kembali sebagai sebuah model baru pada tahun 2022, Honda Transalp XL750 kini diberi perubahan bagi model tahun 2025. Ini bagaimanapun hanyalah sedikit sahaja, iaitu melibatkan bahagian lampu serta penghadang angin hadapannya.

Lampu LED projector baru diberikan pada Transalp, dengan bentuk yang lebih kompak serta rekaan yang lebih menghala seperti Africa Twin. Bersamanya, bahagian fairing atas dibentuk semula dengan terdapat lubang di bahagian tengah, seterusnya memperbaiki aliran udara pada kawasan sekitar kepala penunggang.

Walaupun nampak sama, penghadang angin hadapan sebenarnya adalah baru, dengan merupakan unit Durabio yang dibentuk untuk memperbaiki aliran udara di sekitar badan penunggang dan menurut Honda, aerodinamik fairing tengah juga dibentuk semula untuk memperbaiki kawalan motosikal ini.

Meter TFT berwarna pada Transalp 2025 ini masih lagi bersaiz lima inci, tetapi menurut Honda, ia adalah unit baru yang mempunyai paparan lebih baik sewaktu cahaya terang dan tidak mudah silau. Membantu lagi pengguna, butang kawalannya yang terdapat di bahagian kiri pemegang dijadikan lebih ringkas dan memudahkan. Sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync masih kekal seperti sebelum ini.

Bahagian lain motosikal ini tidak berubah, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

Lima mod tunggangan disediakan, dengan empat daripadanya (Sport, Standard, Rain dan Gravel) sudah ditetapkan manakala satu lagi (User) boleh dilaras mengikut kegemaran penunggang. Transalp XL750 juga datang dengan sistem elektronik lain seperti empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS (ditutup untuk brek belakang).

Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan bahagian hadapan terdiri daripada fork SFF-CATM (Separate Function Fork-Cartridge) 41 mm dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 200 mm, manakala di belakang terdapat monoshock yang menyediakan jarak gerak 190 mm bersama pelarasan pra beban dan disambung kepada lengan ayun melalui tetapan Pro-Link.

Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Sistem brek terdiri daripada cakera 310 mm berkembar dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 256 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Kelengkapan lain yang disediakan oleh Transalp XL750 adalah termasuk semua lampu jenis LED, lampu penunjuk arah padam sendiri dan tangki bahan api 16.9 liter. Jarak kelegaan dari tanah adalah 210 mm manakala berat keseluruhan adalah 210 kg.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required