Central Auto Distributors (CADB), sebuah syarikat di bawah Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Dongfeng Box untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu E2 pada harga RM100,700 dan RM113,700 untuk E3.
Empat warna ditawarkan untuk Dongfeng Box ini, iaitu putih, ungu, hijau dan biru, sementara jika pengguna mahukan E3 dengan bumbung berwarna putih, mereka perlu menambah RM2,000 lagi. Setiap pembelian Dongfeng Box datang dengan jaminan kenderaan lima tahun atau 150,000 km, dan lapan tahun atau 150,000 km untuk bateri voltan tingginya. Setakat ini sudah ada 16 pengedar rasmi Dongfeng di Malaysia dan dua pusat pengalaman menyeluruh di Lembah Kelang.
Bagi tempoh awal ini, CADB akan memberikan insentif kepada pembeli, sehingga 31 Disember 2024 dengan memberikan unit pengecas mudah alih percuma (bernilai RM1,088), ruang simpanan hadapan percuma (bernilai RM1,250) dan pilihan salah satu antara kredit mengecas selama satu tahun (bernilai RM3,000), pengecas rumah (bernilai RM3,288) atau pakej penyelenggaraan (bernilai RM3,000) secara percuma.
Kedua-dua varian Box ini dipacu oleh motor elektrik di bahagian depan yang menghasilkan 95 PS (70 kW) dan tork 160 Nm, membolehkan ia mencapai laju maksimum sehingga 140 km/j. Saiz bateri yang digunakan bagaimanapun adalah berbeza, dengan E2 mendapat unit 31.45 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km (CLTC).
Pada Box E3 pula, ia diberikan bateri 42.3 kWh, yang boleh menyediakan jarak gerak sehingga 430 km. Untuk pengecasan Dongfeng menyatakan Box E2 boleh menerima sumber AC sehingga 3.3 kW, manakala Box E3 pula sehingga 6.6 kW. Bagi kedua-duanya, tahap bateri boleh naik dari 30-80% dalam masa 30 minit.
Dari aspek penampilan, Box mempunyai ciri dan rekaan kompak hatchback yang sinonim untuk kegunaan urban, dengan jalur lampu depan LED (ada mirip rekaan EV smart), garis bumbung rata hingga ke belakang untuk memberikan ruang kabin yang luas serta pilihan warna yang menyerlah. Rekaan rim 17 inci antara E2 dan E3 juga adalah berbeza.
Di dalam, banyak juga kelengkapan yang mengisi ruangnya, seperti konsol tengah apungan, pengecas tanpa wayar Qi, ruang simpanan dalam perehat lengan serta talam simpanan unik di ruang glove box. Ia juga hadir dengan kluster instrumen lima-inci dan skrin sentuh infotainmen bersaiz 12.8-inci dengan sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang tanpa bingkai, kamera 360 darjah, lampu suasana 32 warna serta enam pembesar suara. Pada aspek keselamatan, hanya Box E3 dilengkapi Adaptive Driver Assistance Systems (ADAS) yang termasuk Automatic Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Traffic Sign Recognition dan Park Assist, tetapi beg udara cuma ada dua (untuk E2 dan E3).
GALERI: Dongfeng Box E2
GALERI: Dongfeng Box E3
GALERI: Pilihan warna Dongfeng Box
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.