Kerajaan dijangka bakal memberikan kata putus mengenai penggunaan sistem pembayaran sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) pada 16 Disember ini.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti Kementerian Kerja Raya (KKR) selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuhraya yang terlibat, laporan Bernama.
“Masalahnya sekarang ialah ‘konsesi atas konsesi’… kerana satu konsesi baharu nak buat MLFF ke atas 33 konsesi lama yang memiliki lebuh raya di 33 kawasan dengan separuh daripadanya antara 2,500 hingga 1,500 km (lebuhraya) dimiliki PLUS.
“PLUS tidak bersetuju dengan ‘konsesi atas konsesi’ ini kerana PLUS mempunyai keupayaan sendiri untuk melaksanakan MLFF. … dan kita akan sediakan Kertas Kabinet,” katanya ketika mengulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.
Pada Disember 2023, sejumlah 32 syarikat konsesi lebuhraya memprotes langkah kerajaan yang memberikan kontrak bagi MLFF ini kepada syarikat swasta tunggal. Syarikat konsesi berkenaan mendakwa bahawa perjanjian pelantikan dengan KJS-SEP Synergy, sebuah syarikat yang berkait dengan YTL Corporation, telah diberikan tanpa berunding terlebih dahulu dengan konsesi berkenaan, yang akan menanggung kos pelaksanaannya kelak.
Manakala pada Februari lalu pula, Berjaya Group memaklumkan telah meminta sokongan daripada syarikat konsesi lebuhraya untuk melengkapkan bidaan bagi pemasangan sistem MLFF berkenaan.
MLFF merupakan satu cara untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia adalah sistem kutipan tol yang tidak memerlukan kenderaan untuk lalu dengan perlahan atau berhenti di plaza tol. Ia telah mula diperkatakan sejak tahun 2009. Pada Mac 2023, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.